KUALA LUMPUR – Jenama kopi tempatan, Ngupi by ZUS (Ngupi) diumumkan sebagai ‘Kopi Rasmi’ bagi rancangan realiti popular, Big Stage Alpha oleh stesen televisyen Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) semalam.
Kolaborasi strategik itu menandakan langkah penting dalam usaha sub-jenama di bawah ZUS Coffee itu untuk memperkukuhkan hubungan jenama dengan generasi muda Malaysia melalui saluran hiburan arus perdana.
Menurut Pengarah Bisnes Barangan Pengguna Bergerak Pantas (FMCG) ZUS Coffee, Ng Chun How, Ngupi yang diinspirasikan daripada ungkapan harian ‘jom ngopi’, membawa identiti lokal ke hadapan melalui cita rasa nostalgia, rekaan kreatif, dan pengalaman yang dekat dengan jiwa rakyat.
“Big Stage Alpha memberi kami platform sempurna untuk menyampaikan mesej jenama bahawa Ngupi adalah milik rakyat Malaysia – dari orang kita, untuk orang kita. Justeru, menyatukan produk kami dengan suara-suara baharu negara merupakan langkah yang sejiwa dengan identiti Ngupi.
“Melalui kolaborasi ini, Ngupi bukan sekadar memaparkan produknya di kaca televisyen, tetapi turut menjalankan kempen ‘Ngupi Bersama Idola’ di media sosial dan aktiviti digital bersama peserta-peserta Big Stage Alpha.
“Ini seterusnya memberi impak tambahan dalam penjenamaan serta penembusan pasaran secara organik,” katanya pada sidang media Big Stage Alpha semalam, yang turut dihadiri Ketua Pemasaran Ngupi, Raymond Seah; Pengurus Jenama Ngupi, Michelle Ong; Pengurus Projek Khas, Adli Alias dan barisan peserta Big Stage Alpha.

Dari kafe ke pasaran moden: rancangan pengembangan FMCG
Ngupi membawa aspirasi untuk menjadi nama utama dalam segmen kopi sedia bancuh (ready-to-drink) dan kopi segera (instant coffee) di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
Teknologi eksklusif TRIBLENDLOCTM️ membolehkan jenama ini mengekalkan keaslian rasa kopi tempatan seperti Kopi Putih, Kopi Cham, Kopi O, dan Kopi Coklat dalam bentuk pek segera yang mudah dibawa dan disediakan.
Dengan permintaan yang kian meningkat terhadap produk gaya hidup tempatan yang berkualiti, Ngupi kini boleh didapati di laman web rasmi ZUS (shop.zuscoffee.com), Shopee, Lazada, TikTok Shop dan juga rangkaian pasar raya utama seperti AEON dan Lotus’s.
“Kami tidak hanya menjual kopi – kami membawa cerita, nostalgia dan identiti Malaysia ke dalam setiap cawan.
“Kerjasama ini juga membuka ruang kepada lebih banyak peluang kolaborasi bersama penggiat industri kreatif dan gaya hidup,” jelas Ng.

Pelancaran jenama Ngupi merupakan kesinambungan daripada kejayaan Expresso, kopi dalam tin yang diperkenalkan tahun lalu.
Ia sebahagian daripada pelan pelancaran produk strategik ZUS untuk menjadikan kopi ‘specialty’ berkualiti tinggi lebih mudah dinikmati oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia, sambil mengangkat kepakaran barista tempatan sebagai nadi inovasi dalam setiap cawan. – KOSMO! ONLINE