LONDON – Perlumbaan terkemuka dunia, Formula Satu (F1) mengesahkan bahawa Grand Prix (GP) Belanda tidak lagi berada dalam kalendar perlumbaan selepas musim 2026 sekali gus menandakan tamatnya era buat Litar Zandvoort.
F1 mengumumkan kontrak lanjutan satu tahun Litar Zandvoort kelmarin adalah perjanjian terakhir antara badan induk permotoran antarabangsa dan penganjur GP Belanda itu.
Ini bermakna edisi 2025 dan 2026 adalah perlumbaan terakhir buat juara dunia empat kali, Max Verstappen bersaing di tempat kelahirannya sendiri.
GP Belanda terlibat dalam penganjuran F1 selama 35 tahun bermula 1950 hingga 1985 dan selepas itu mereka menyepi sebelum kembali menjadi perhatian dunia apabila disenaraikan semula ke kalendar F1 pada 2021.
Presiden F1, Stefano Domenicali berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sebelum ini bekerja keras untuk mengembalikan F1 ke Belanda.
“Saya sangat berterima kasih atas usaha telah dilakukan oleh pasukan di Grand Prix Belanda dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Mereka telah menaikkan standard perlumbaan di Eropah.
“Mereka juga menyokong pembangunan bakat muda dengan menganjurkan F2, F3 dan siri Akademi F1. Semua pihak telah bekerjasama dengan positif untuk mencari penyelesaian bagi melanjutkan perlumbaan dengan pelbagai pilihan termasuk kemungkinan berkongsi tahun atau acara tahunan.
“Kami menghormati keputusan penganjur untuk mengakhiri kerjasama luar biasa ini pada 2026,” kata Domenicali.
Sebelum ini, Litar Zandvoort pernah mempertimbangkan untuk berkongsi slot penganjuran dengan GP Belgium, namun cadangan tersebut masih belum diputuskan.
Ketiadaan Litar Zandvoort bermakna F1 akan terus meneroka peluang-peluang baharu di luar Eropah selepas beberapa negara menyuarakan minat untuk menjadi tuan rumah seperti Afrika Selatan, Turkiye, Colombia, Jepun dan juga Arab Saudi. – AGENSI