Murid rentas Sungai Golok: Kerajaan pilih pendekatan bantu

6 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil pendekatan berhemah dengan membantu 34 murid yang merentas sempadan Malaysia-Thailand secara tidak sah, berbanding tindakan penguatkuasaan semata-mata.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau mengarahkan Jabatan Imigresen dan Polis Kelantan supaya membantu urusan dokumentasi murid terbabit agar mereka dapat menggunakan laluan sah ke sekolah.

Katanya, pendekatan itu diambil selepas mengambil kira kemungkinan wujud kekangan dokumen yang memaksa mereka menggunakan laluan tidak sah.
“Semalam saya beri arahan kepada Ketua Pengarah Imigresen dan Ketua Polis Kelantan supaya bantu anak-anak ini dipermudahkan dokumen perjalanan mereka.

“Kita tidak mahu ikut jalur biasa iaitu menangkap mereka di bawah Akta Imigresen, buka kertas siasatan dan kenakan kompaun. Sebaliknya, kita bantu dari segi dokumentasi agar mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Dokumentasi Inisiatif Mekar Didik dan Program Kaunter Lorong di sini, hari ini.

Beliau berkata, kawasan sempadan Kelantan sepanjang lebih 100 kilometer mempunyai hubungan komuniti rentas negara yang rapat, sekali gus menjadikan pergerakan harian termasuk ke sekolah sebagai perkara biasa bagi sebahagian penduduk.

Namun begitu, katanya, aspek keselamatan tidak boleh dikompromi kerana kawasan tersebut berisiko tinggi terhadap jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dadah, senjata api dan pemerdagangan manusia.

“Terdapat kes di mana pelajar digunakan sebagai keldai untuk menyeludup dadah. Sebab itu, tugas pasukan keselamatan mengawasi sempadan agar tidak terdedah kepada ancaman ini.

“Namun, bagi kes melibatkan pelajar, kita akan uruskan sebaik mungkin bagi memastikan pendidikan mereka tidak terjejas,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan sebelum ini turut mengambil langkah membuka pintu sempadan lebih awal bagi memudahkan pergerakan pelajar yang menetap di Thailand pergi ke sekolah.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan kos mendapatkan pas sempadan adalah rendah iaitu RM10 dan menggesa ibu bapa serta penjaga memastikan anak-anak menggunakan saluran yang sah.

Ahad lalu, Kosmo! melaporkan, Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seramai 34 pelajar dan murid sekolah selepas dikesan menyeberangi Sungai Golok dari Thailand melalui pangkalan haram untuk pergi ke sekolah mereka.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan tujuh hingga 16 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6.30 pagi sebelum dibebaskan kira-kira pukul 11.30 malam hari yang sama. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |