‘Mendunia’ tapi The White Lotus 3 kurang menikam

2 weeks ago 15

BARU berkesempatan menghabiskan lapan episod musim terbaharu siri popular HBO, The White Lotus. Sebagai antara kelompok audiens yang mengikuti dua musim terdahulu naskhah berkenaan, penulis sejujurnya sangat tidak sabar menonton kisah terbabit lebih-lebih lagi penggambaran dilakukan di negara jiran, Thailand.

Kendatipun, sejujurnya bukan mudah untuk menandingi musim-musim terdahulu terutama impak dan legasi ditinggalkan Tanya McQuoid (lakonan Jennifer Coolidge).

Musim baharu ini seperti digembar-gemburkan ramai, pacing-nya terlalu perlahan. Perlahan yang membuatkan peminat seperti penulis hilang sabar dan keinginan untuk menghabiskan tontonan.

Pacing perlahan

Sejujurnya, banyak adegan yang terlalu draggy sehingga membuatkan naratif atau plot penceritaan kurang membekas di hati penonton.

Dari kisah perhubungan toksik dan cerita masalah kekeluargaan, semua itu ditonjolkan dalam The White Lotus musim 3 dengan visual serta sinematografi sangat mempesona.

Thailand menjadi lokasi penggambaran The White Lotus dan untuk perihal terbabit, produksi menggunakan sepenuhnya kelebihan Negeri Gajah Putih itu dengan mempromosi budaya, seni dan keindahan negara terbabit.

Barangkali, antara elemen yang menyelamatkan musim baharu ini adalah terjemahan karakter para pelakon terlibat terutama Jason Isaacs sebagai Timothy Ratliff seorang ahli perniagaan ‘bermasalah’ dan Walton Goggins sebagai Rick Hatchett, seorang lelaki misteri yang banyak ‘hajat’ untuk dilunaskan di Thailand.

Karakter Jason sebagai Timothy misalnya, memberi teguran kepada orang ramai duit ada banyak mana sekalipun, kalau keluarga tidak pernah sedar dek untung, memang sampai bila-bila tidak akan bertemu rasa bahagia.

Watak cemerlang dibangunkan Jason juga memberi peringatan bahawa bukan semua orang kaya itu berada di posisi mereka dengan cara yang halal. Adakalanya, mereka terpaksa memijak, melakukan penipuan bahkan membunuh demi kesenangan bersifat sementara.

‘Screentime’ Lisa

Lisa Blackpink juga tidak terkecuali terlibat dalam musim kali ini. Dia merupakan seorang pelakon semula jadi dan kelibatnya sangat luar biasa kemenjadiannya.

Cumanya, penulis mengharapkan screentime untuk Lisa menerusi karakter Mook dilebihkan.

Sebenarnya, lapan episod untuk sebuah penceritaan yang kompleks barangkali tidak mencukupi.

Masakan tidak, kisah keluarga bermasalah, persahabatan toksik dan kekayaan melampau, semua itu untuk disumbat dalam hanya lapan episod bukan satu tugas mudah untuk penulis skrip dan pengarah.

Apapun, The White Lotus musim 3 bukanlah tidak menyeronokkan untuk menjadi pilihan, namun secara terang-terangan, dua musim terdahulu dengan jalan cerita ‘top-tier’, terjemahan karakter membekas dan lebih memberi kesan kepada budaya pop, memang tiada tandingan.

Kalau The White Lotus satu lembaran kertas peperiksaan, penulis tidak akan teragak-agak memberi markah 60 hingga 75 peratus. Masih satu pilihan tontonan yang berbaloi.

Read Entire Article
Pertanian | | | |