Malaysia, Türkiye komited kukuh kerjasama bidang pendidikan tinggi

1 week ago 14

PETALING JAYA – Malaysia bersama Türkiye bersetuju untuk memperkukuh dan mempelbagaikan bentuk kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, kerjasama itu dipersetujui kedua-dua negara menerusi mesyuarat jawatakuasa yang berlangsung bersempena Sidang Kemuncak Pendidikan Tinggi Eurasia (EURIE) 2025 di Istanbul hari ini bersama rakan sejawatnya dari Türkiye, Profesor Erol Özvar,

Jelas Zambry, menerusi mesyuarat berkenaan beberapa ketetapan penting telah dibincangkan dan dicapai secara bersama antaranya penubuhan Jawatankuasa Kerja Khas Bersama yang terdiri daripada wakil-wakil pegawai kanan kedua-dua negara.

“Kedua, pelaksanaan pembiayaan bersama projek penyelidikan dalam bidang-bidang strategik yang akan dikenal pasti serta latihan dan pembangunan kapasiti untuk pegawai kerajaan, pensyarah, penyelidik juga pelajar dari kedua-dua negara.

“Mesyuarat turut mengadakan perbincangan lanjut mengenai penawaran biasiswa agar dapat dimanfaatkan secara lebih berkesan oleh pelajar Malaysia dan Türkiye,” tulisnya di laman Facebook.

Zamry berkata, kedua-dua negara juga akan mengenal pasti bidang tumpuan untuk bekerjasama termasuk program akademik dan penyelidikan.

Selain itu katanya, Malaysia dan Türkiye juga akan memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta institusi politeknik dengan tumpuan kepada bidang kemahiran utama seperti maritim, kejuruteraan dan teknologi.

“Mesyuarat itu juga akan melakukan semakan semula Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani sebelum ini bagi memastikan keberkesanan dan kesesuaian pelaksanaannya.

“Malah kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mengadakan mesyuarat ini secara tahunan, dengan penganjuran secara bergilir antara kedua-dua negara. Malaysia akan menjadi tuan rumah pada tahun 2026,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penganjuran mesyuarat jawatankuasa bersama itu merupakan satu lembaran baharu dalam usaha memperkukuh hubungan strategik antara Malaysia dan Türkiye dalam pendidikan tinggi.

Ujar Zambry, pihaknya yakin bahawa langkah itu akan membuka lebih banyak peluang kolaborasi berimpak tinggi, termasuk pemindahan ilmu, penyelidikan bersama, dan pembangunan bakat pada skala global. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |