Malaysia terhutang budi kepada jasa, budi bicaramu – Anwar

1 day ago 7

PETALING JAYA – “Malaysia terhutang budi kepada jasa dan budi bicaramu.”

Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pemergian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara sekitar pukul 7.10 malam hari ini.

“Saya baru menerima berita yang amat menyentak jiwa iaitu sahabat saya yang juga mantan Perdana Menteri Malaysia kelima telah kembali menemui ilahi,” katanya.

Anwar berkata, beliau masih ingat kali terakhir menziarahi Allahyarham yang berada dalam keadaan yang sangat uzur lantas meruntun jiwa yang hiba.

“Namun saat tangan kami bersentuhan, matanya yang kabur masih memancarkan sinar kasih dan sikap damai yang tidak pernah padam.

“Dalam derapan langkah politik yang sering gawat dan menyesakkan, Pak Lah (Abdullah) sentiasa menjadi pihak yang menenangkan. Beliau menerima saya dengan penuh adab dan ihsan, meski kami pernah berada di medan politik yang bertentangan. Itulah betapa besarnya jiwa seorang negarawan ulung,” ujarnya.

Kata Anwar, Allahyarham bukan sekadar pemimpin, malah merupakan seorang insan berjiwa besar yang menerapkan naratif baru dalam politik kekuasaan di Malaysia.

Jelasnya, dengan pendekatan Islam Hadhari, Abdullah menjadi jambatan antara aspek kemajuan dan pembanganunan dengan nilai.

“Di bawah kepemimpinannya, kita telah menyaksikan reformasi di bidang kehakiman, ketelusan dalam pentadbiran, dan pemerkasaan institusi.

“Beliau adalah sosok yang memerdekakan suara rakyat melalui pembukaan ruang media dan penyertaan awam. Pentadbiran beliau berpaksi pada Rancangan Malaysia Kesembilan yang memacu pertumbuhan ekonomi serta memfokuskan pembangunan insan dan di pedesaan,” katanya.

Namun lebih daripada itu, Anwar berkata, Allahyarham telah mengajarkan kita erti kemanusiaan dalam kepemimpinan.

“Allahyarham memimpin dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa, dan suara yang tidak meninggi meski diasak bertubi-tubi.

“Saya masih ingat sewaktu saya sendiri bergelut dalam episod hidup yang gelap dan derita, beliau tidak pernah menambah luka dengan kata-kata nista. Itulah peribadi Pak Lah yang sentiasa memilih damai meski mudah untuk membalas.

“Kepada keluarga Tun Jeanne, anakanda Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan keluarga besar beliau, saya ucapkan takziah setulusnya dari lubuk hati. Seluruh negara turut bersedih atas kehilangan seorang negarawan yang membumi. Selamat jalan, Pak Lah,” katanya.

Anwar dalam masa sama mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin, diampunkan segala dosanya dan dikurniakan ganjaran syurga atas segala kebajikan sepanjang hayat beliau. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |