Majikan urus pekerja sambil lewa punca lambakan PATI

17 hours ago 7

ALOR SETAR – Sikap sambil lewa segelintir majikan dalam menguruskan dokumentasi pekerja asing dikesan menjadi antara punca utama lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pengarah Imigresen negeri, Mohd. Ridzzuan Mohd. Zain berkata, kegagalan majikan memastikan pekerja yang diambil bekerja mempunyai dokumen sah menyumbang kepada peningkatan jumlah golongan itu.

“Sebagai contoh, seseorang pekerja ada permit kerja yang sah dalam sektor pembuatan tetapi dia bekerja di sektor pembinaan, jadi apa yang kita nampak majikan tak ambil perhatian serius berkaitan undang-undang Imigresen untuk urus pekerja asing.

“Sebenarnya, dalam sektor pembinaan kena ada satu perjanjian iaitu Surat Anugerah (LoA) antara kontraktor utama dan sub kontraktor. Mungkin kontraktor utama hanya tahu ada pekerja tapi tidak tahu siapa pekerja itu.

“Jadi kalau tiada LoA itu kita akan siasat kontraktor utama untuk proses perundangan dan kalau LoA wujud kita akan tumpukan siasatan kepada sub kontraktor,” katanya selepas mengetuai Op Gempur Bersasar, di sini hari ini.

Katanya, bahagian sumber manusia syarikat juga kurang cakna dalam perkara itu misalnya mengambil pekerja asing hanya berdasarkan maklumat lisan tanpa mengesahkan secara dokumen.

“Contohnya dalam operasi hari ini, kita jumpa nama lain tetapi dalam dokumen nama lain jadi mereka tidak periksa pekerja-pekerja itu. Ini akan memberi implikasi kepada majikan kerana apa sahaja pengambilan pekerja asing mereka perlu cakna,” ujarnya.

Justeru, beliau berkata, tindakan penguatkuasaan imigresen akan ditumpukan kepada majikan selepas ini kerana operasi terhadap pekerja tidak memberi kesan terhadap isu PATI.

“Majikan ada implikasi besar dalam konteks kompaun dan denda, jadi sekarang ini kita fokus pendakwaan majikan ke mahkamah. Sebelum ni fokus pada PATI sahaja, sekarang ada faktor lain yang sumbang iaitu sikap majikan,” katanya.

Sementara itu, seramai 64 PATI warga Myanmar, Indonesia dan Bangladesh berusia antara 18 hingga 40-an telah ditahan di dua tapak pembinaan di Changlun dan Kuala Kedah, hari ini.

“Dalam serbuan bermula 10.30 pagi itu, pelbagai kesalahan dikesan iaitu Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada pas dan tinggal lebih masa serta Peraturan 39B, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 akibat salah guna pas,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |