PERKEMBANGAN penyerang di Liga Malaysia (Liga M) akan terbantut sekiranya masih terdapat banyak pasukan tempatan yang berdepan masalah dalaman termasuk isu tunggakan gaji sehingga mengganggu prestasi pemain.
Walaupun data menunjukkan ada pemain yang mampu menjaringkan banyak gol ketika bertemu pasukan bermasalah, ia bukan perkembangan positif kerana pemain dari kelab yang berdepan isu pasti tidak memberikan persembahan sebenar.
Bekas pemain negara dan Kuala Lumpur, Datuk Subadron Abdul Aziz berkata, kesan tidak baik bukan hanya menjurus kepada penyerang sebaliknya turut membabitkan industri bola sepak negara.
“Memang tugas penyerang adalah untuk menjaringkan gol, tetapi akan ada kesan kepada pemain itu kerana mungkin lawan mereka tidak berada pada tahap terbaik. Walaupun sudah bergelar pemain gred A, situasi ini akan beri kesan kepada perkembangan prestasi mereka.
“Kalau pemain gred A mampu bermain baik, hanya mereka yang dilihat bagus. Jadi, situasi sekarang bukan hanya beri impak kepada perkembangan pemain, malah industri juga akan terkesan,” katanya.
Sebagai rekod, dua keputusan Liga Super melibatkan kekalahan Kedah Darul Aman (KDA FC) yang tewas 0-6 kepada Sri Pahang dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC yang dimalukan 0-9 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) telah dikritik oleh peminat bola sepak tanah air.
Pada aksi membabitkan JDT dan KDN FC sebelum ini, penyerang import sensasi Harimau Selatan, Bergson Da Silva meledak lima gol menjadikan pemain itu mencipta rekod baharu Liga Super apabila meledak 31 gol semusim.
“Kalau nak cerita tentang Bergson, dia bukan baharu bersama JDT, jadi kalau dia tidak jaringkan gol ketika berdepan pasukan tercorot pasti ada yang tertanya-tanya kenapa dia gagal jaringkan gol.
“Bagi penyerang, akan ada pasang surut, tetapi untuk saya jika dia jaringkan gol lawan pasukan rendah adalah perkara biasa,” kata seorang lagi bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus.