Lesen pemandu bas tamat tempoh ketika aksi riba – TPR

3 hours ago 3

JASIN – Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik dalam prosiding pertuduhan bekas pemandu bas dan kekasihnya yang tular kerana aksi riba mendedahkan lesen memandu lelaki itu telah tamat tempoh pada 1 April lalu.

Tertuduh, Arif Fahmi Abd. Salam, 36, dan Nur Adila Najwa Ilham Ameerullah, 21, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Mereka mengaku bersalah di hadapan Majistret Mazana Sinin atas pertuduhan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2020) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda RM5,000 hingga RM15,000 selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sehingga lima tahun dari tarikh sabitan.

Terdahulu, Arif Fahmi dalam rayuannya memberitahu, ia merupakan kesalahan pertamanya dan telah diberhentikan kerja oleh pihak syarikat susulan kejadian tersebut.

Katanya, perbuatan yang dilakukan mereka juga tidak menyebabkan kemalangan dan kesemua penumpang selamat tiba di destinasi.

Pihak pendakwaan bagaimanapun mencadangkan hukuman berat dengan mengambil kira beberapa faktor pemberat antaranya keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh dan faktor kepentingan awam yang perlu didahulukan berbanding tertuduh.

“Ketika aksi berbahaya itu dilakukan, pemandu bas membawa 27 nyawa dengan lesen memandunya telah tamat tempoh. Aksi tertuduh mencetuskan kegusaran orang awam berkaitan keselamatan pengangkutan awam.

“Ketika kejadian sebanyak 27 nyawa berada di dalam bas tersebut. Tindakan tertuduh langsung tidak boleh diterima, mujur tiada apa-apa yang berlaku, jika sebaliknya bagaimana dengan nasib penumpang?

“Jadi, saya gesa mahkamah menjatuhkan hukuman yang berat bagi menyampaikan mesej dan peringatan kepada semua pengguna jalan raya supaya tidak sesekali mengabaikan faktor keselamatan jalan raya,” katanya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara terhadap Arif Fahmi, manakala Nur Adila dihukum penjara selama enam bulan. Mereka turut didenda RM5,000 atau dua bulan penjara, jika gagal bayar.

Nur Adila turut didakwa atas tuduhan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina penumpang wanita berusia 44 tahun. Bagi kesalahan itu, dia didenda RM100.-KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |