Lelaki dicekup muat naik video aibkan PM, ada simpan video lucah

2 days ago 10

BACHOK – Seorang lelaki dicekup selepas memuat naik video yang mendatangkan keaiban terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi aplikasi TikTok baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok menerima laporan pada 11 April lalu bahawa suspek turut menghasut rakyat setempat supaya tidak menyertai Majlis Sambutan Aidilfitri Madani.

Menurutnya, siasatan mendapati, lelaki berusia 25 tahun itu menggelarkan Perdana Menteri dengan jolokan nama yang amat memalukan dan mengaibkan iaitu ‘Ketimbang’ dan ‘Bang Non’.

“Suspek juga membuat tuduhan bahawa Perdana Menteri akan hadir ke Pantai Irama di sini pada 12 April lalu untuk menipu orang yang hadir ke Majlis Sambutan Aidilfitri Madani.

“Lelaki itu juga membuat kenyataan yang
seolah-olah mengajak orang ramai supaya tidak menyukai dan memboikot majlis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Ismail memberitahu, sehubungan itu, IPD Bachok menahan suspek dan merampas telefon miliknya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Menurutnya, pemerikdaan lanjut terhadap telefon bimbit suspek mendapati lelaki itu menyimpan kandungan video dan gambar lucah.

“Suspek mengaku bersalah dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi pertuduhan menyimpan bahan lucah itu.

“Bagaimanapun, siasatan untuk Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 masih dalam siasatan,” ujarnya.

Tambah Mohamad Ismail, IPD Bachok masih menunggu laporan penuh daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |