KLANG – Seorang lelaki yang terlibat dalam kes penculikan seorang remaja perempuan maut dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Batu Tinggi, Bandar Bukit Tinggi Klang di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 5 pagi dengan suspek berusia 21 tahun mati di lokasi kejadian.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan mendapati suspek antara individu yang terlibat dalam kes penculikan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di Avenue, Seremban kira-kira pukul 5.45 petang, 10 April lalu.
Katanya, kumpulan penculik telah meminta tebusan sebanyak RM2 juta daripada keluarga mangsa.
“Mangsa kemudiannya telah dilepaskan di Nusari Bayu, Sendayan, Negeri Sembilan kira-kira pukul 8.30 malam sehari kemudian.
“(Kumpulan suspek) telah menerima bayaran tebusan sebanyak RM280, 000 dan sejumlah barangan kemas, ” katanya di lokasi kejadian hari ini.
Menurut Fadil, semasa kejadian polis cuba menahan kereta jenis Proton Wira dipandu suspek, namun bertindak agresif termasuk melawan arus.
Ujarnya, suspek juga telah melanggar kenderaan polis semasa dikejar sebelum berjaya dipintas serta berlaku kes berbalas tembakan.
“Suspek yang ditembak mati ini tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Semakan mendapati kenderaan ini juga digunakan ketika melepaskan mangsa sebelum ini. Kita turut merampas sepucuk pistol semi auto Colt dan parang dalam kereta itu,” katanya.
Jelas beliau, pihaknya juga telah berjaya menangkap enam suspek lain termasuk tiga wanita berusia 20 hingga 31 tahun di sekitar Sendayan Negeri Sembilan
“Sejumlah RM230,000 wang tebusan berjaya diperoleh dengan lain-lain rampasan masih dalam semakan pihak polis,” katanya. – KOSMO! ONLINE