SANA’A – Kira-kira 20 kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ditahan kumpulan Houthi di Yemen semalam, lapor saluran berita CNN yang memetik seorang pegawai PBB.
Jurucakap penyelaras penduduk PBB untuk Yemen, Jean Alam bekata, ia berlaku sehari selepas anggota-anggota kumpulan itu menyerbu sebuah lagi fasiliti PBB di ibu kota Yemen, Sana’a.
Alam memberitahu bahawa kakitangan PBB itu ditahan di dalam fasiliti yang terletak di kawasan kejiranan Hada, barat daya Sana’a.
Beliau berkata, mereka yang ditahan adalah termasuk lima warga Yemen dan 15 kakitangan antarabangsa.
Katanya lagi, kumpulan itu telah membebaskan 11 lagi kakitangan PBB selepas sesi soal siasat.
Menurut Alam, pihak PBB sedang berhubung dengan kumpulan Houthi dan pihak-pihak lain untuk menyelesaikan keadaan serius itu secepat mungkin.
“Ia bagi menamatkan penahanan semua kakitangan dan memulihkan kawalan penuh ke atas fasiliti PBB di Sana’a,” ujarnya.
Seorang lagi pegawai PBB yang bercakap tanpa mendedahkan identiti berkata, kumpulan Houthi merampas semua peralatan komunikasi di fasiliti berkenaan, termasuk telefon, ‘server’ dan komputer.
Pegawai itu menjelaskan bahawa kakitangan yang ditahan datang daripada pelbagai agensi PBB termasuk Program Makanan Sedunia (WFP), Tabung Darurat Kanak-kanak Antarabangsa PBB (UNICEF) dan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).
Kumpulan Houthi sejak sekian lama melancarkan tindakan keras terhadap PBB dan organisasi antarabangsa lain yang beroperasi di kawasan di bawah kawalan mereka, termasuk di Sana’a, bandar pesisir Hodeida dan kubu kuat mereka di wilayah utara Sadaa. – AGENSI