Lateks getah asli buka dimensi baharu pembinaan lestari

3 hours ago 2

APABILA menyebut lateks getah asli, kebanyakan orang mungkin terus membayangkan sarung tangan, barangan perubatan atau produk kegunaan harian.

Namun, bahan berasaskan sumber semula jadi itu kini mempunyai potensi yang jauh lebih luas apabila diterokai dalam sektor pembinaan.

Sifatnya yang anjal, mempunyai kekuatan mekanikal, kalis air dan boleh diperbaharui menjadikan lateks getah asli antara bahan yang berpotensi membantu industri pembinaan bergerak ke arah pendekatan lebih lestari.

Menurut Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Chm. Ts. Dr. Siti Maznah Kabeb, keperluan terhadap inovasi sedemikian semakin penting apabila sektor pembinaan berdepan tekanan untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

“Penghasilan bahan binaan konvensional, khususnya yang bergantung kepada bahan sintetik dan sumber berasaskan petroleum boleh menyumbang kepada jejak karbon yang tinggi.

“Justeru, pencarian bahan alternatif yang mampu menawarkan prestasi teknikal baik tanpa mengabaikan aspek kelestarian menjadi antara agenda penting dalam pembangunan industri pembinaan moden,” katanya kepada K-Tekno baru-baru ini.

Tambahnya, dalam konteks tersebut, keanjalan lateks menjadi salah satu ciri paling menarik untuk diterokai.

Struktur bangunan sentiasa berdepan pergerakan akibat perubahan suhu, pengecutan konkrit, getaran dan beban mekanikal.

Kongsi Siti Maznah, pergerakan berulang ini boleh menyebabkan tekanan pada bahan pengedap serta menghasilkan retakan kecil pada permukaan binaan.

“Lateks yang mempunyai sifat anjal berupaya mengikuti pergerakan tersebut dengan lebih fleksibel, sekali gus berpotensi membantu mengurangkan risiko keretakan dan kegagalan lapisan perlindungan.

“Keupayaan itu boleh dimanfaatkan dalam pelbagai aplikasi seperti bahan pengedap, lapisan pelindung serta campuran tertentu dalam bahan binaan,” ujarnya.

Katanya lagi, berbanding lapisan yang mudah menjadi keras dan kehilangan fleksibiliti selepas terdedah kepada perubahan persekitaran, bahan berasaskan lateks mempunyai keupayaan untuk mengekalkan sifat elastik, bergantung kepada formulasi dan kaedah penggunaannya.

Satu lagi kelebihan penting ialah keupayaan membentuk lapisan yang membantu menghalang kemasukan air.

MALAYSIA kaya dengan sumber getah asli. – Gambar hiasan

Dalam pembinaan, kelembapan merupakan antara faktor yang boleh mempercepat kemerosotan struktur.

“Air yang meresap ke dalam konkrit boleh meningkatkan risiko kerosakan, termasuk kakisan tetulang keluli.

“Penggunaan bahan berasaskan lateks sebagai lapisan perlindungan berpotensi membantu mengurangkan penyerapan air pada permukaan tertentu terutama kawasan yang kerap terdedah kepada kelembapan seperti dinding luar, bumbung, bilik air dan dapur,” tambah Siti Maznah.

Jelasnya lagi, inovasi lateks juga tidak terhad kepada perlindungan struktur. Sifat anjal dan keupayaan menyerap hentakan membuka peluang penggunaannya pada permukaan yang memerlukan tahap keselamatan dan keselesaan lebih tinggi.

Antaranya ialah lantai taman permainan, trek larian serta ruang aktiviti fizikal. Permukaan yang mempunyai keupayaan menyerap sebahagian tenaga hentakan boleh membantu mengurangkan tekanan terhadap tubuh pengguna dan pada masa sama memberikan pengalaman penggunaan yang lebih selesa.

Menariknya, perkembangan teknologi bahan kini membolehkan sifat lateks dipertingkat melalui penyelidikan dan formulasi baharu.

Siti Maznah mengulas, penggunaan bahan pengisi semula jadi, bahan nano dan campuran hibrid berpotensi meningkatkan kekuatan mekanikal, ketahanan terhadap kelembapan serta kestabilan haba.

Ini membuka ruang kepada pembangunan bahan binaan baharu yang bukan sahaja fleksibel, malah mempunyai ketahanan lebih baik terhadap persekitaran.

“Malaysia pula mempunyai kelebihan tersendiri untuk meneroka bidang ini kerana kedudukannya sebagai antara negara pengeluar getah asli.

“Selama ini, sebahagian besar perhatian industri tertumpu kepada penghasilan dan eksport produk getah, sedangkan penggunaan lateks dalam bidang bernilai tambah seperti pembinaan boleh membuka pasaran baharu,” kongsinya.

Ujarnya lagi, sekira berjaya dikomersialkan, inovasi tersebut berpotensi memperkukuh rantaian nilai industri getah tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada sesetengah bahan binaan berasaskan sumber luar.

Bagaimanapun, perjalanan lateks menuju tapak pembinaan masih memerlukan kajian lanjut. Faktor seperti ketahanan jangka panjang, prestasi dalam cuaca tropika, kos pengeluaran, piawaian teknikal dan penerimaan industri perlu diuji menyeluruh.

Read Entire Article
Pertanian | | | |