Asal 2026 himpunkan 22 pelukis dunia di Lenggong

3 hours ago 2

LENGGONG – Seramai 22 pelukis tempatan dan antarabangsa menyertai Asal 2026 – Art, Stories, Archaeology, Lenggong yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Batu Di-Situ, di sini.

Program berkenaan menghimpunkan pelukis dari Malaysia, Itali, Sepanyol, Rusia, Jepun, Iran, Oman, Singapura, Indonesia, Myanmar, China dan Scotland.

Asal 2026 mendapat sokongan dana Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), dengan pengisian memberi tumpuan kepada seni, sejarah, arkeologi serta warisan Lembah Lenggong.

Pengarah Program Asal 2026, Saadon Ishak atau lebih dikenali sebagai Kartunis Don berkata, program tersebut diwujudkan bagi menjadikan seni sebagai medium memperkenalkan kisah dan nilai warisan Lenggong kepada masyarakat serta pelancong.

“Lenggong mempunyai sejarah yang panjang, terutama dari sudut arkeologi dan kehidupan manusia awal.

“Kita mahu para pelukis datang sendiri ke sini, melihat dan mengalami suasana Lenggong sebelum menterjemahkannya melalui karya masing-masing,” katanya.

Sepanjang program berlangsung, setiap pelukis menghasilkan sebuah karya di atas kepingan batu berukuran 3 kaki x 6 kaki di Batu Di-Situ.

Karya tersebut menampilkan pelbagai tafsiran mengenai Lenggong termasuk kehidupan manusia awal, arkeologi, alam sekitar, simbol serta pengalaman pelukis sepanjang berada di kawasan berkenaan.

Menurut Saadon, kepelbagaian tafsiran itu menjadi antara perkara utama yang ingin diketengahkan menerusi ASAL 2026.

“Kami tidak mahu semua orang melukis perkara yang sama. Setiap artis mempunyai pengalaman dan pandangan sendiri terhadap Lenggong.

“Itulah yang menjadikan setiap karya berbeza,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan Lenggong sebagai lokasi program turut mempunyai kaitan rapat dengan kedudukannya sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Pengiktirafan UNESCO memberikan Lenggong kedudukan yang sangat penting dari sudut warisan.

“Kita mahu pengunjung bukan sahaja tahu bahawa Lenggong ialah Tapak Warisan Dunia, tetapi turut mengenali cerita yang menjadikan tempat ini begitu istimewa.

“Seni boleh menjadi salah satu cara untuk menyampaikan cerita itu,” katanya.

Majlis perasmian dan penutup Asal 2026 disempurnakan Seniman Diraja, Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid (Lat).

Turut hadir Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Pengurus Besar PORT Ipoh serta wakil Angkatan Pelukis SeMalaysia dan Persatuan Pelukis Perak.

Saadon berkata, karya yang dihasilkan di Batu Di-Situ diharap dapat terus menjadi sebahagian daripada tarikan kawasan berkenaan, selain memberikan pengalaman baharu kepada pengunjung.

“Harapan saya, Batu Di-Situ akan menjadi tempat yang menggabungkan seni dengan cerita warisan Lenggong.

“Orang datang melihat karya, kemudian mereka ingin tahu tentang sejarah dan arkeologi yang ada di sini. Kalau itu berlaku, saya fikir seni sudah memainkan peranannya,” katanya.

Beliau berkata, Asal 2026 turut membuka ruang untuk Lenggong terus diperkenalkan kepada pelukis dan penggiat seni dari luar negara, selain memberi peluang kepada pelukis tempatan berkongsi pentas bersama seniman antarabangsa.

Karya 22 pelukis yang dihasilkan sepanjang program kini menjadi sebahagian daripada pengalaman ASAL 2026 di Batu Di-Situ, sekali gus diharap mampu membantu menjadikan lokasi berkenaan sebagai salah satu mercu tanda seni dan warisan di Lenggong. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |