KUALA LUMPUR – Sebuah kotak plastik mencurigakan yang ditemui di hadapan sebuah kedai di Sri Petaling, di sini, tengah hari tadi, mencetuskan kebimbangan selepas pemeriksaan awal mendapati bacaan radiasi agak tinggi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan objek berkenaan pada pukul 12.57 tengah hari daripada seorang wanita berusia 33 tahun.
“Hasil siasatan awal mendapati objek yang ditemui mengandungi bahan radioaktif melalui bacaan radiasi yang agak tinggi yang dijalankan di kawasan terlibat.
“Unit Pemusnah Bom (UPB) IPK Kuala Lumpur bersama Unit CBRE (Unit Persenjataan Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Letupan) Bukit Aman serta pihak Agensi Nuklear Malaysia telah hadir ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan penilaian lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, UPB kemudiannya menggunakan Recoilless Disruptor 5.0 bagi memusnahkan objek yang disyaki tersebut.
“Hasil tindakan mendapati terdapat beberapa kotak yang disyaki mengandungi barangan berbentuk blok binaan (Lego) berwarna-warni di dalam kotak berkenaan yang telah berjaya dimusnahkan,” ujarnya.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut oleh Jabatan Tenaga Atom mengesahkan tiada bacaan radioaktif dikesan di lokasi kejadian.
Fadil berkata, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan kes masih dalam siasatan.
“Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu yang boleh mendatangkan kegusaran dan ancaman kepada orang ramai,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
2




![[VIDEO] ‘Sampai karpet kena tukar, bau tidak tahu macam mana’](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/b7bf61f8-05e6-4d75-bd48-132f75d6f8d1.jpeg)














![[VIDEO] Kenalan hiba iringi mendiang Debra Morset dibawa pulang ke Kuching](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-13-at-13.00.17.jpeg)
























![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)




