KUALA LUMPUR – Perebutan jersi ‘Raja Bukit’ Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 tidak akan berakhir di Genting Highlands, sebaliknya bakal diheret ke peringkat terakhir perlumbaan berikutan masih terdapat beberapa zon pendakian yang menawarkan mata.
Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Teknikal LTdL, Emir Abd Jalal berkata, persaingan itu dijangka kekal terbuka sekiranya jurang mata antara pencabar utama masih rapat biarpun telah menempuh tiga pendakian utama di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands.
“Untuk perebutan juara keseluruhan (GC), kita jangkakan ia berkemungkinan besar akan ditentukan atau berakhir di cabaran pendakian di Genting Highlands.
“Tetapi untuk jersi King of the Mountain (KOM) atau Raja Bukit, sekiranya perbezaan mata antara pelumba masih kecil, saingan belum tentu berakhir di Genting,” katanya selepas sidang media penajaan BUBBLES O2 yang menaja jersi polka dot hijau Raja Bukit LTdL 2026.
Beliau berkata, Peringkat Keenam dari Pandan Indah ke Rembau masih menyediakan tiga zon pendakian pertengahan (KOM) membabitkan pendakian Kategori Dua dan Kategori Tiga.
“Peringkat Kelapan juga mempunyai satu zon pendakian yang agak tinggi. Jadi perebutan mata untuk jersi bukit ini boleh berlarutan sehingga ke peringkat akhir perlumbaan,” katanya.
Bagi edisi ke-30 itu, penganjur turut meningkatkan mata yang ditawarkan di zon pendakian utama, khususnya pendakian di Genting Highlands, bagi memastikan persaingan lebih mencabar.
Emir berkata, pendakian kategori Hors di Genting Highlands kini menawarkan maksimum 25 mata berbanding 15 mata sebelum ini, manakala pendakian Kategori Satu menawarkan 15 mata.
Persaingan turut dijangka sengit apabila kesemua 20 pasukan yang mengesahkan penyertaan menghantar sekurang-kurangnya dua pelumba pakar pendaki.
Antara pasukan yang dilihat serius memburu jersi Raja Bukit ialah TotalEnergies yang menyenaraikan enam pakar pendaki, termasuk Geoffrey Bouchard, bekas pemenang jersi ‘King of the Mountain’ di Vuelta a Espana dan Giro d’Italia.
Pasukan itu turut membawa Jordan Jegat yang pernah menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik Tour de France.
Emir berkata, kehadiran barisan pendaki berkualiti tinggi menjadikan jersi Raja Bukit antara tarikan utama LTdL edisi ke-30, terutama dengan tiga pendakian utama yang menanti pelumba.
LTdL26 yang berstatus 2.ProSeries akan bermula dengan Peringkat 1 dari Shah Alam ke Kampar pada 27 September ini, dan berakhir dengan Peringkat 8, Muar-Putrajaya pada 4 Oktober, membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1,285.5km. –KOSMO! ONLINE

3 hours ago
2




![[VIDEO] ‘Sampai karpet kena tukar, bau tidak tahu macam mana’](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/b7bf61f8-05e6-4d75-bd48-132f75d6f8d1.jpeg)














![[VIDEO] Kenalan hiba iringi mendiang Debra Morset dibawa pulang ke Kuching](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-13-at-13.00.17.jpeg)
























![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)




