Festival Citra Mutiara jana ekonomi Pulau Pinang

21 hours ago 9

GEORGE TOWN – Penganjuran Festival Citra Mutiara 2026 memberi nilai tambah kepada ekonomi Pulau Pinang, khususnya kepada pengusaha produk seni budaya, usahawan tempatan dan aktivis seni.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Mohd. Yusri Mohd. Yusoff berkata, festival berkenaan membuka peluang kepada penggiat industri memperluaskan jaringan, mempromosikan produk serta meningkatkan potensi penjanaan pendapatan.

Menurut beliau, penganjuran festival itu turut mengangkat nasi kandar sebagai ikon gastronomi Pulau Pinang selain mengetengahkan negeri ini sebagai destinasi yang kaya dengan warisan budaya dan kesenian tradisional pelbagai kaum.

“Ini sekali gus memperkukuh daya tarikan pelancongan Pulau Pinang kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa, selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

“Inisiatif ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasa sektor pelancongan dan kebudayaan yang berdaya saing, inklusif dan lestari melalui penglibatan aktif pemain industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Festival Citra Mutiara 2026 di sini, hari ini. Majlis disempurnakan oleh Yang di-Pertua Pulau Pinang (TYT), Tun Ramli Ngah Talib.

Beritahu beliau lagi, segala strategi dan langkah berkaitan kebudayaan sentiasa dipandu secara konsisten oleh Dasar Kebudayaan Negara (Daken).

“Fokus kita kekal kepada tiga teras utama iaitu Budaya Nilai Tinggi, Pemeliharaan Warisan dan Penjanaan Ekonomi Kebudayaan demi melahirkan masyarakat Malaysia yang maju, madani dan berbudaya,” katanya.

Festival Citra Mutiara 2026 bertemakan ‘Jom Pi Gheyuh di Pulau Pinang, Surrrrr!’ menjadi platform pelancongan budaya yang mengetengahkan keunikan serta identiti budaya negeri ini.

Pelbagai aktiviti dianjurkan sepanjang festival termasuk perarakan budaya, persembahan kesenian pelbagai kaum, pertandingan, demonstrasi, pencungkilan bakat, wayang pacak, gastronomi warisan dan eksplorasi Pulau Mutiara.

Turut diadakan wacana budaya, pertandingan boria, pameran interaktif serta jualan produk tempatan bagi memperkayakan pengalaman pelawat.

Festival itu merupakan program pelancongan budaya kelapan anjuran MOTAC melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) pada tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |