KULIM – Timbalan Ketua Polis Negara baharu bagi menggantikan Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay yang bersara wajib pada 27 Julai lalu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses itu telah disempurnakan menerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) termasuk mendapatkan pandangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim seperti yang dikehendaki Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, beberapa nama telah dibincangkan sebelum SPP melaksanakan proses seterusnya bagi menentukan calon yang sesuai untuk jawatan tersebut.
“Proses itu kena bermula dengan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang saya pengerusikan bersama jawatankuasa yang dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perlembagaan.
“Untuk dua jawatan iaitu Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara, Perlembagaan menghendaki prosesnya adalah untuk ikut mendapat pandangan daripada Yang di-Pertuan Agong. Jadi proses itu telah pun kita sempurnakan,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Bersama Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat tapak Projek Membina dan Menyiapkan Jalan Kampung Badlishah/Ayer Putih di Junjong, di sini hari ini.
Kata beliau, susulan itu, pengumuman berhubung jawatan Timbalan Ketua Polis Negara itu akan dibuat dalam masa sesingkat mungkin.
“Bagi (jawatan) Ketua Polis Negara, KPN masih lagi memegang jawatan sesuai dengan kontraknya yang masih ada. Jadi yang kita buat keputusan itu adalah Timbalan Ketua Polis Negara yang saya sebut tadi kita akan umumkan dalam masa terdekat ini. Sehari dua ini kita akan umumkan,” ujarnya.
Mengulas calon yang layak dipertimbangkan, beliau berkata, semua pegawai berpangkat Komisioner Polis (CP) mempunyai peluang untuk dipilih bagi jawatan berkenaan.
Katanya, terdapat 25 pegawai berpangkat CP selain tiga lagi yang mendapat pangkat berkenaan menerusi kuota khas, menjadikan keseluruhan 28 pegawai yang layak dipertimbangkan.
“Semua layak. Dalam kelompok itulah nama yang kita persembahkan kepada Tuanku melalui proses yang dikehendaki Perlembagaan Persekutuan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
15





![[VIDEO] ‘Sampai karpet kena tukar, bau tidak tahu macam mana’](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/b7bf61f8-05e6-4d75-bd48-132f75d6f8d1.jpeg)













![[VIDEO] Kenalan hiba iringi mendiang Debra Morset dibawa pulang ke Kuching](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-13-at-13.00.17.jpeg)
























![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)




