“Kita satu bangsa, kita satu negara. Kita satu matlamat…”
“Jalur gemilang di bawah naunganmu, Jalur gemilang kami semua bersatu…”
Saya melihat anak lelaki saya yang berusia tujuh tahun bersungguh-sungguh mencari lagu-lagu patriotik tersebut di YouTube dan menyanyikannya dengan penuh semangat.
Ada kalanya, lagu-lagu yang sama dimainkan berulang kali tanpa rasa jemu. Melihat gelagatnya, saya tertanya-tanya, sejauh manakah anak saya memahami apa yang dinyanyikannya?
Ya, pada usia semuda itu, mungkin dia belum benar-benar memahami peristiwa yang berlaku pada 31 Ogos 1957, apatah lagi mengerti sejarah perjuangan kemerdekaan negara.
Jika ditanya Jalur Gemilang itu apa, anak saya hanya akan menjawab bendera Malaysia.
Anak saya juga mungkin masih belum faham maksud lambang bulan sabit, bintang dan 14 jalur merah dan putih di bendera Malaysia, namun saya percaya sesuatu sedang disemai dalam dirinya setiap kali dia menyanyikan lagu-lagu tersebut, iaitu rasa cinta terhadap Malaysia.
Tidak mustahil di situlah bermulanya patriotisme. Tidak perlu definisi yang panjang, apa itu patriotisme atau sejarah negara?
Kadangkala, ia bermula dengan sesuatu yang sangat sederhana iaitu sebuah melodi didengar dan dinyanyikan berulang kali.
Melalui bait-bait lirik lagu patriotik, anak-anak mula mengenali Jalur Gemilang, kemerdekaan, perpaduan, kepelbagaian kaum, tokoh negara serta bahasa dan budaya Malaysia.
Mereka mungkin belum mampu menjelaskan maksud patriotisme, tetapi kita tidak boleh menafikan emosi yang timbul dalam diri mereka setiap kali lagu itu dinyanyikan. Mengapa lagu patriotik mempunyai kuasa sedemikian?
Pertama, melodinya mudah diingati. Melodi yang catchy dan lirik yang ringkas memudahkan kanak-kanak menghafalnya dengan cepat.
Semakin kerap lagu itu dinyanyi dan dimainkan, semakin kuat ia melekat dalam ingatan. Kedua, muzik mempunyai kekuatan untuk membangkitkan emosi.
Perasaan bangga, gembira dan kebersamaan bukan hanya dirasai oleh orang dewasa, tetapi juga kanak-kanak.
Ia menjadi lebih bermakna apabila lagu tersebut dinyanyikan bersama ibu bapa, guru dan rakan-rakan.
Lama-kelamaan, lagu itu bukan sekadar lagu. Ia menjadi sebahagian daripada memori zaman kanak-kanak mereka.
Saya sendiri dapat merasakannya. Setiap kali terdengar lagu-lagu patriotik yang pernah popular ketika saya masih kecil, secara automatik saya dibawa menyusur kembali ke zaman kanak-kanak penuh dengan kegembiraan.
Tidak mustahil pengalaman yang sama akan dilalui oleh anak saya dan kanak-kanak lain apabila mereka dewasa kelak.
Mungkin suatu hari nanti, apabila mereka terdengar semula lagu-lagu tersebut, melodi itu akan menggamit kembali kenangan indah zaman kecil mereka.
Namun begitu, sebagai orang dewasa, khususnya ibu bapa dan guru, kita perlu memastikan lagu patriotik tidak sekadar menjadi rutin setiap kali bulan Ogos serta September.
Persoalannya, apabila anak saya menyanyikan lagu, Saya Anak Malaysia, adakah dia benar-benar memahami apa ertinya menjadi anak Malaysia?
Di sinilah pentingnya peranan ibu bapa dan guru. Selepas menyanyikan lagu, mungkin ada anak yang bertanya, ‘Apa maksud lagu ini?’, ‘Kenapa kita perlu sayangkan Malaysia?’ atau ‘Apa yang boleh saya lakukan untuk Malaysia?’
Soalan-soalan seperti ini tidak sepatutnya dipandang ringan. Sebaliknya, ia boleh menjadi ruang untuk orang dewasa memperkenalkan nilai patriotisme dalam bentuk mudah difahami oleh kanak-kanak.
Mereka perlu dibimbing untuk memahami bahawa mencintai negara bukan sekadar menyanyikan lagu atau mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi juga menghormati orang lain, menjaga keharmonian dan melakukan sesuatu yang baik untuk masyarakat.
Lagu patriotik juga boleh menjadi jambatan kepada perpaduan. Bayangkan anak-anak Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak dan pelbagai etnik lain menyanyikan lagu yang sama.
Apabila suara yang berbeza bergabung dalam satu melodi, perbezaan itu tidak lagi menjadi jurang, sebaliknya menjadi sesuatu yang harmoni.
Dalam dunia kanak-kanak hari ini yang begitu dekat dengan media digital, lagu patriotik juga perlu bergerak seiring dengan perubahan zaman.
Selain YouTube, mereka begitu dekat dengan TikTok dan Reels.
Pencipta kandungan boleh menghasilkan lagu patriotik dalam bentuk animasi, video muzik kanak-kanak atau kandungan pendek dengan lirik mudah difahami.
Dengan pendekatan ini, patriotisme tidak dilihat sebagai sesuatu yang ‘old school’, tetapi sesuatu lebih dekat dengan dunia dan bahasa media mereka.
Pada akhirnya, semangat cintakan negara tidak lahir hanya daripada menghafal lagu atau tarikh kemerdekaan.
Ia tumbuh sedikit demi sedikit melalui pengalaman yang dekat dengan jiwa anak-anak iaitu melalui keluarga, sekolah, rakan-rakan dan mungkin juga sebuah
lagu.
Tidak mustahil suatu hari nanti, apabila saya bertanya semula kepada anak saya, apa yang dia faham tentang tarikh 31 Ogos 1957? Dia bukan sahaja tahu bahawa itu tarikh keramat Malaysia mencapai kemerdekaan.
Malah, memahami pengorbanan tokoh-tokoh terdahulu yang berjuang untuk membebaskan negara daripada belenggu penjajahan.
Apa yang pasti, rasa cinta dan sayang kepada Malaysia tidak perlu bermula dengan sesuatu terlalu besar.
Cukuplah bermula dengan sebuah lagu yang dinyanyikan dengan jiwa ikhlas dan setulus hati.
Penulis ialah Pensyarah Kewartawanan
di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
Universiti Teknologi Mara

1 day ago
13















































