Kuskop sasar RM5 juta hasil kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya

4 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menyasarkan RM5 juta menerusi hasil jualan usahawan tempatan sepanjang Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2025.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, Mari Beli Lokal disertai usahawan selebriti terkenal seperti Kasurysh, Lima Waktu, Elrah Exclusive, Primavalet, The Makan Shoppe, Beubon, Shasya Habib dan Aris Burger.

Katanya, kempen itu antaranya bertujuan menarik sokongan orang ramai kepada produk tempatan yang dikeluarkan usahawan Malaysia.

“Kempen ini bertujuan memberi sokongan terhadap produk dan perkhidmatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan, dan secara tidak langsung membantu proses pendigitalan PMKS di Malaysia.

“Usahawan tempatan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka dijemput menyertai platform jualan digital MyMall dengan mendaftarkan perniagaan mereka di www.mymallmalaysia.my atau e-mel ke [email protected].

“Manakala bagi yang berminat mendapatkan kelengkapan Ramadan dan Raya seperti makanan, pakaian, perhiasan dan pelbagai keperluan lain boleh membuat pesanan menerusi www.mymallmalaysia.my atau aplikasi MyMall 2.0 yang boleh dimuat turun di PlayStore atau AppStore,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di Dewan ODEON di sini semalam.

Ewon berkata, selain menyediakan platform e-dagang tanpa caj, MyMall turut menawarkan akses terhadap pembangunan kapasiti, pembiayaan perniagaan dan pemasaran kepada usahawan dan koperasi tempatan.

“KUSKOP terus komited dalam membantu pembangunan usahawan dan koperasi dengan pelbagai inisiatif terkini dan berimpak tinggi.

“Langkah ini bertepatan dengan konsep Malaysia MADANI, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |