KEPUASAN bagi seorang kaki pancing adalah apabila dapat menjinakkan ikan yang diburu sehingga dapat ‘mendaratkannya’ dengan sempurna.
Lebih menambah keseronokan apabila dapat merasai daya lawan ikan yang sedang cuba melarikan diri selepas membaham umpan sehingga ada antaranya melompat di atas permukaan air bagi melepaskan diri.
Pengalaman itulah yang menjadi kegilaan dan ingin dinikmati sebahagian besar kaki pancing apabila keluar memburu ikan idaman.
Bagi seorang kaki pancing, Mohd. Yusof Muda, 46, faktor itulah yang menyebabkan dia kini menjadi pemburu setia ikan talang di sekitar ‘muka’ Kuala Tanjung berhampiran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Terengganu.
“Terdapat beberapa spesies ikan yang apabila cuba melepaskan diri selepas membaham umpan, ia akan melompat di atas permukaan air.
“Antaranya ialah ikan talang, ikan belitong, ikan layaran dan ikan suji.
“Seperti di kawasan Kuala Tanjung, ikan talang kerap memasuki kawasan kuala Sungai Terengganu ini ketika air laut mula pasang dan akan keluar semula ke laut ketika waktu air surut,” katanya.Yusof yang merupakan anak jati Kuala Terengganu berkata, waktu paling sesuai untuk memburu ikan talang di kawasan berkenaan adalah ketika air mula surut terutama selepas waktu subuh.
Ini kerana jelasnya, ikan talang yang masuk ke kawasan muka kuala Sungai Terengganu itu akan kembali keluar menuju ke arah laut mengikut arus sungai ketika air laut mula surut.
Ketika berada di kawasan kuala, ikan berkenaan akan bermain-main di kawasan berkenaan sebelum berenang ke kawasan laut yang lebih dalam, menjadikan kawasan tersebut sebagai spot utama bagi kaki pancing untuk memburu ikan talang.
“Pada waktu itulah para pemancing akan melemparkan gewang masing-masing untuk menarik minat ikan talang membaham umpan tiruan tersebut.
“Jika kena pada gayanya, seorang pemancing boleh mendapatkan lebih 10 ekor ikan talang sehari dengan saiz purata antara dua hingga lima kilogram seekor,” jelasnya.
Menurutnya lagi, ikan talang dikesan banyak memasuki kawasan kuala Sungai Terengganu itu selepas musim tengkujuh iaitu ketika air laut di kawasan pantai kembali jernih.
Justeru katanya, ramai kaki pancing akan mula menyerbu kawasan muka kuala berhampiran Jambatan Angkat Kuala Terengganu untuk mencuba nasib memburu ikan talang terutama selepas musim tengkujuh.
Bagaimanapun katanya, ikan talang masih boleh diburu sepanjang waktu di kawasan berkenaan terutama ketika air laut jernih, namun kehadirannya tidak sebanyak ketika selepas musim tengkujuh.
Mengulas lanjut teknik memburu ikan talang di kawasan berkenaan, Yusof berkata, kebiasaannya para pemancing akan menggunakan gewang rekaan khas yang boleh didapati daripada penjual gewang ikan talang di situ.
Dia yang sudah menjadi pemburu ikan talang di muka kuala sejak 13 tahun lalu berkata, dia lebih gemar menggunakan gewang ciptaannya sendiri untuk buru spesies ikan itu.
“Kebanyakan pemancing akan menggunakan teknik ‘casting’ yang dipadankan dengan pelbagai jenis gewang.
“Biasanya, saya akan menggunakan gewang ciptaan sendiri yang diikat menggunakan benang khas agar kelihatan seperti berbulu dan berkilat ketika berada di dalam air.
“Berdasarkan pengalaman saya selama lebih 13 tahun memburu ikan talang di muka kuala ini, gewang jenis berbulu ini lebih cepat dibaham ikan berkenaan berbanding gewang jenis lain.
“Malah, saya bersama rakan-rakan pemancing dari grup ‘Tanjung Angler Fish Hunter’ pernah menaikkan lebih 50 ekor talang dalam masa sehari,” ujarnya.
Kata Yusof lagi, memandangkan daya tarikan ikan talang agak kuat terutama apabila umpan dibaham ikan yang bersaiz besar, maka pemilihan set joran dan tali juga haruslah sesuai.
Bagi dirinya, dia lebih kerap menggunakan set joran aksi sederhana dengan penggunaan tali utama bersaiz 40 paun agar tidak mudah putus ketika melayan tarikan ikan talang.
Bercakap mengenai hasil pancingan ikan talang, Yusof memberitahu, kebiasaannya dia akan memproses ikan tersebut dan dijemur menjadi ikan masin.
Ini kerana katanya, ikan talang lebih sesuai dijadikan ikan masin sebelum dimasak dengan pelbagai hidangan.
“Jika mengikut harga pasaran, ikan talang masin boleh dijual pada harga sekitar RM6 bagi sekilogram.
“Kebiasaannya ikan talang masin akan dijual kepada pembeli di sekitar Kuala Terengganu,” katanya.