KUCHING – Seorang anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke atas sebuah pacuan empat roda yang dinaiki tiga penjenayah, menyebabkan ia terbabas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, tindakan itu diambil disebabkan kenderaan suspek hendak melanggar mereka bagi mengelak daripada ditangkap.
Menjelas lanjut, beliau berkata semasa sedang membuat rondaan cegah jenayah kira-kira pukul 3.20 pagi semalam, pasukan polis peronda terbabit cuba menahan Mitsubishi Triton berkenaan dan sebuah Perodua Bezza yang dalam keadaan mencurigakan di Jalan Green.
Bagaimanapun, katanya kenderaan tersebut terus melarikan diri dan pasukan peronda terbabit terus mengejar Mitsubishi Triton tersebut dengan menyalakan lampu Beacon sehingga ke satu jalan di kawasan taman perumahan berhampiran.
“Semasa berada di jalan tersebut, pemandu Mitsubishi Triton telah membuat pusingan U dan terus meluru hendak melanggar ketiga-tiga anggota polis yang sedang berada di atas jalan.
“Salah seorang anggota polis telah melepaskan satu das tembakan ke arah kenderaan tersebut menyebabkan ia terbabas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Merbin berkata ketiga-tiga lelaki tempatan berusia 39, 41 dan 43 tahun itu kemudian berjaya ditangkap, dengan suspek berusia 41 tahun turut mengalami kecederaan dan sedang dirawat di hospital serta dalam keadaan stabil.
Beliau menambah ujian air kencing turut mendapati kesemua suspek positif dadah, dengan dua daripadanya mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan narkotik.
Katanya kesemua suspek ditahan reman sehingga 3 April nanti untuk siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Merbin berkata, pihaknya kini giat mengesan Perodua Bezza berwarna merah yang masih bebas dan meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat kanan, ASP Chris Olsen Ramlee di talian 013-8607572. – KOSMO! ONLINE
tamat