Kempen Lestari Pendidikan bantu struktur semula pinjaman PTPTN

12 hours ago 6

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melaksanakan inisiatif Kempen Lestari Pendidikan bagi membantu peminjam yang mempunyai tunggakan untuk menstrukturkan semula pinjaman mengikut kemampuan kewangan mereka.

PTPTN berkata, kempen itu terbuka kepada semua peminjam konvensional dan ujrah PTPTN yang mempunyai tunggakan berjumlah RM500 dan ke atas dalam tempoh kempen bermula iaitu pada 15 Oktober hingga 15 Disember depan.

Katanya, melalui kempen itu, peminjam hanya perlu membuat bayaran pendahuluan 20 peratus daripada jumlah tunggakan atau sekurang-kurangnya RM500, mana yang lebih tinggi dan memohon rundingan bayaran balik melalui aplikasi web myPTPTN.

“Melalui rundingan ini, peminjam boleh menstrukturkan semula pinjaman, melakukan pertukaran ujrah atau menggabungkan pinjaman dalam tempoh kempen.

“Dengan kaedah ini, peminjam berpeluang untuk menyusun semula jadual bayaran balik (JBB) mengikut kemampuan kewangan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, Kempen Lestari Pendidikan merupakan inisiatif strategik PTPTN yang dirangka bagi membantu meringankan beban peminjam melalui #PTPTNBolehBincang.

“Peminjam boleh berbincang atau berunding untuk pelan pembayaran fleksibel iaitu penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan kewangan mereka.

“PTPTN bukan sahaja memberi ruang kepada peminjam untuk menyusun semula komitmen kewangan, malah memastikan kelestarian dana pinjaman agar dapat terus dimanfaatkan oleh generasi pelajar akan datang,” katanya.

Selain itu katanya, peminjam digalakkan untuk membuat bayaran balik pinjaman melalui bayaran ansuran secara potongan gaji atau ‘direct debit’ serta menikmati insentif menstrukturkan semula pinjaman mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

“Selari komitmen PTPTN dalam menggalakkan bayaran balik pinjaman dalam kalangan peminjam dan meningkatkan kualiti perkhidmatan, Bulan Mesra Pelanggan PTPTN dilaksanakan secara serentak di Pejabat PTPTN Negeri dan Cawangan seluruh negara bermula 1 November hingga 15 Disember 2025.

“Pelbagai tawaran istimewa kepada para peminjam PTPTN termasuk layak cabutan bagi bayaran balik pinjaman berjumlah RM500 dan ke atas
dengan menawarkan hadiah tunai yang sangat lumayan berjumlah RM70,000 kepada 140 pemenang.

“Tempoh promosi cabutan ini bermula pada 1 November hingga 15 Disember depan dan cenderamata khas akan diberikan kepada 20 pelanggan terawal yang hadir di kaunter Pejabat PTPTN Negeri dan Cawangan serta membuat rundingan bayaran balik,” katanya.

Dalam pada itu katanya, waktu operasi kaunter di Pejabat PTPTN Negeri dan cawangan terpilih seluruh negara turut dilanjutkan mulai pukul 8.30 pagi hingga 6 petang termasuk hari Sabtu dari pukul 9 pagi hingga 5 petang mulai 1 Disember hingga 15 Disember depan. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |