Kebakaran paip gas: PPS Camelia ditutup pukul 10 malam ini

1 week ago 15

SHAH ALAM – Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini akan ditutup secara berperingkat mulai malam ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penutupan awal akan dimulai bagi PPS Dewan Camelia yang dijangkakan pukul 10 malam.

Katanya, ia kemudiannya disusuli PPS Dewan Masjid Putra Heights pada akhir minggu ini.

“Ini kerana rumah-rumah mereka telah diserahkan dan kerajaan negeri telah mula menawarkan perumahan Airbnb dan tawaran duit sewa (RM2,000) dan sebagainya.

“Untuk maksud tersebut, minggu hadapan kita akan cuba melunaskan bantuan kali pertama iaitu wang sewa kepada keseluruhan kepada mereka yang mengambil atau rumah-rumah memerlukan kediaman sementara,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Dewan Annex, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini.

Beliau memberitahu, ketika ini terdapat 17 keluarga di PPS Dewan Camelia dan 87 keluarga di Masjid Putra Heights.

Kata Amirudin, berdasarkan 613 mangsa yang telah berdaftar didapati hanya 469 ketua keluarga yang layak menerima sumbangan sama ada RM5,000 atau RM10,000 yang akan diselesaikan dalam minggu ini sebelum pelaksanaan pengurusan penempatan sementara.

Ujarnya, sebanyak 217 rumah telah disahkan selamat struktur dan boleh diduduki selepas kerja pembaikan dapat dilaksanakan selepas verifikasi ditetapkan JBPM dengan kediaman itu boleh disalurkan bekalan elektrik dan air.

“Mesyuarat (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri) tadi juga menetapkan bahawa rumah-rumah yang mengalami kerosakan kecil ini dibenarkan untuk mereka membaiki segera.

“Ini supaya menjamin keselamatan dan keselesaan kediaman-kediaman ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 16 ketua keluarga telah bersetuju menerima tawaran penempatan sementara kediaman daripada Airbnb.

“Tetapi selebihnya terpulanglah. Saya rasa bila ada tawaran bantuan sewa RM2,000 mereka pun hendak cari kediaman selesa untuk mereka.

“Smart Sewa (di Kota Warisan Sepang) mungkin kedudukan jauh daripada lokaliti asal. Namun, kalau mereka bekerja di sekitar Cyberjaya dan Putrajaya, saya rasakan agak menarik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |