PETALING JAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan tindakan penguatkuasaan terhadap dua penerbitan yang dikaitkan dengan Shamsiah Fakeh dibuat berdasarkan penilaian semasa demi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
Menurutnya, larangan terhadap buku bertajuk Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen Ke-10 dan Komrad ASI (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah dilaksanakan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
Kementerian itu menjelaskan, tindakan tersebut tidak bergantung kepada tempoh sesuatu bahan diterbitkan, sebaliknya berdasarkan kandungan serta implikasinya terhadap keselamatan awam.
“Setiap tindakan diambil secara sah, teliti dan berasaskan peruntukan undang-undang serta kepakaran berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, KDN memaklumkan hasil pemantauan mendapati terdapat bahan yang mengandungi unsur dan ideologi komunisme kini mula tersebar secara lebih terbuka di pasaran.
Jelasnya, perkembangan tersebut menunjukkan kecenderungan untuk menormalisasikan serta mengagung-agungkan fahaman berkenaan yang bercanggah dengan kepentingan keselamatan negara.
KDN turut menolak dakwaan bahawa tindakan itu bertujuan menyekat kebebasan intelektual atau wacana ilmiah, sebaliknya disifatkan sebagai langkah pencegahan bagi melindungi masyarakat.
“KDN tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan untuk menyebar atau menghidupkan semula ideologi yang bertentangan dengan undang-undang,” katanya.
Sementara itu, siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap kedua-dua penerbitan berkenaan termasuk melibatkan pihak penerbit bagi memastikan pematuhan kepada keperluan perundangan.
Terdahulu, KDN mengeluarkan arahan larangan (pengharaman) terhadap dua buku berkenaan dan penerbit Gerakbudaya mengesahkan menerima notis KDN dan mengeluarkan kenyataan media berhubung pengharaman itu.
Hal demikian turut mengundang rasa kesal Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor yang juga merupakan cucu kepada Shamsiah Fakeh, Jamaliah Jamaluddin yang menganggap keputusan itu disifatkan tidak berasas. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
2











































