PETALING JAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi jaminan kawalan keselamatan dan teknikal sistem MyKad akan terus diperkukuh bagi memastikan ketepatan data serta keselamatan identiti pengguna terjamin dalam pelaksanaan subsidi bersasar kerajaan.
Langkah itu susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini berhubung siasatan terhadap dakwaan penyalahgunaan MyKad bagi tujuan penebusan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
JPN dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pihaknya memandang serius aduan berkaitan penyalahgunaan MyKad di peringkat penebusan bantuan.
“Sebagai agensi pembekal utama data kewarganegaraan kepada MOF dalam pelaksanaan inisiatif Sara dan Budi Madani, JPN menegaskan bahawa semua data yang dibekalkan adalah rasmi, sah, dan disemak secara berlapis melalui sistem keselamatan dalaman jabatan.
“Bagaimanapun, JPN memandang serius aduan berhubung terdapat penyalahgunaan MyKad di peringkat
penebusan bantuan,” katanya.
Tambah kenyataan itu, JPN kini bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagi menambah baik aspek teknikal sistem pengesahan identiti penerima.
Antara langkahnya, adalah melaksanakan pemadanan dan kemaskini data MyKad serta versi cip terkini secara berkala dengan kekerapan lebih tinggi antara JPN dan MOF.
Jelasnya, ia bagi memastikan maklumat penerima sentiasa tepat, terkini dan mengelakkan penyalahgunaan kad yang hilang, rosak atau diganti.
“Langkah lain termasuklah menetapkan sekiranya berlaku penyalahgunaan MyKad, pemilik perlu membuat laporan polis bagi membolehkan MOF dan JPN menjalankan siasatan lanjut.
“MOF dan JPN juga akan memastikan baki sumbangan akan dipulangkan kepada penerima yang sah,” katanya.
JPN menegaskan bahawa penambahbaikan sistem kini dilaksanakan dengan memberi keutamaan kepada ketepatan data dan keselamatan pengguna MyKad, agar isu teknikal yang timbul tidak berulang dalam pelaksanaan subsidi bersasar seterusnya.
“Jabatan ini kekal komited untuk menyokong dasar Kerajaan Madani dalam memastikan subsidi dan bantuan kerajaan sampai kepada penerima yang benar-benar layak dengan selamat, telus dan berintegriti,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan akan menyelesaikan segera isu penyalahgunaan MyKad oleh bagi menebus bantuan Sara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bantuan tersebut adalah hak rakyat dan kerajaan tidak akan membiarkan mana-mana penerima yang layak teraniaya akibat isu teknikal atau penyelewengan identiti.
Menurut beliau, sekiranya berlaku penyalahgunaan MyKad, baki sumbangan akan dipulangkan semula kepada penerima selepas siasatan disahkan.- KOSMO! ONLINE