PETALING JAYA – Jutaan perantau yang pulang ke kampung halaman terpaksa menempuh perjalanan yang panjang lebih 10 jam sejak semalam apabila beberapa lebuh raya di seluruh negara sesak.
Seorang perantau, Mohd. Solihi Ismail, 42, berkata, dia yang memulakan perjalanan dari Shah Alam kira-kira pukul 7 pagi tadi mengambil masa kira-kira 10 jam untuk pulang beraya di Chendering, Kuala Terengganu.
“Jalan memang sesak, dari Gombak menuju ke Genting Sempah, perjalanan mengambil masa hingga empat jam.
“Bila buka Google Maps, dia cadangkan suruh berpatah balik. Tapi saya teruskan saja perjalanan.
“Tahun lepas saya dan keluarga pulang ke Terengganu dua ke tiga hari sebelum Aidilfitir juga, tetapi tidak sesak seperti tahun ini. Sepanjang perjalanan tidak ada kemalangan berlaku, memang kesesakan terjadi sebab kenderaan banyak,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Salina Musa, 32, berkata, dia menempuh perjalanan selama tujuh jam bagi menyambut Aidilfitri di kampungnya di Sabak Bernam, Selangor.
Dia yang bertolak dari Kuantan, Pahang pada pukul 10 malam semalam berkata, keadaan jalan raya agak sesak walaupun pada waktu tengah malam.
“Saya dan keluarga ambil keputusan untuk bergerak pada waktu malam kerana mahu elak kesesakan dan mengantuk jika memandu waktu siang dalam keadaan berpuasa.
“Balik raya tahun ini agak sesak walaupun pada sebelah malam, kami ambil masa untuk berehat sekali sahaja di Genting Sempah namun tetap tiba lewat ke destinasi,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Muhamad Farid Fazil, 31, berkata, perjalanan balik ke Kangar, Perlis pada tahun ini mengambil masa selama 10 jam.
Katanya, tempoh waktu itu lebih lama berbanding kebiasaannya iaitu sekitar enam ke tujuh jam sahaja.
“Saya memulakan perjalan dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 10 malam dan tiba di kampung halaman di Kangar sekitar pukul 8 pagi.
“Kelewatan dalam tiga ke empat jam jika dibandingkan dengan tempoh perjalanan balik pada bukan musim perayaan. Kesesakan mungkin disebabkan ramai balik pada masa sama jadi kenderaan bertambah,” katanya.
Bagaimanapun katanya, keadaan jalan adalah baik dan tiada kemalangan dilihat sepanjang perjalanan itu. -KOSMO! ONLINE.