Jakim tegur Ainon, kemuka permohonan maaf

4 hours ago 1

PETALING JAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memanggil dan mengadakan pertemuan dengan seorang pemilik Facebook yang telah memuat naik hantaran dengan mengaitkannya dengan junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

Jakim menerusi kenyataannya, pertemuan bersama Ainon Mohd. yang berlangsung semalam turut disertai oleh pegawai daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

“Jakim telah membuat teguran dan menggesa beliau menurunkan kenyataan tersebut seterusnya menasihati agar berhati-berhati dalam memuat naik apa-apa kandungan berunsur Islam serta merujuk kepada pihak berautoriti bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat.

“Beliau bersetuju agar hantaran berkenaan diturunkan daripada media sosial dengan mengemukakan permohonan maaf serta berjanji tidak akan mengulangi perkara yag sama dan akan lebih berhati-hati dalam sebarang penulisan yang dihasilkan,” menurut Jakim.

Sehubungan itu, Jakim menyeru kepada semua pihak agar tidak mencetuskan kekeliruan dan kegelisahan awam dengan menimbulkan sebarang perkara yang boleh mencemarkan kemuliaan baginda sebagai utusan Allah SWT serta mengganggu keharmonian umat Islam di negara ini.

“Jakim menghargai setiap usaha yang dilakukan oleh para pemain industri penerbitan buku di Malaysia dalam memandaikan umat melalui medium tersebut dan sebagai salah satu medium dakwah.

“Walau bagaimanapun, Jakim berharap agar semua pihak lebih berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya membuat sandaran kepada baginda Nabi Muhammad SAW demi menjaga kesucian nama serta martabat baginda sebagai utusan Allah SWT,” menurut kenyataan Jakim.

Terdahulu, pengguna Facebook yang menggunakan nama Ainon Mohd. mencetuskan kontroversi serta mengaitkannya dengan Nabi Muhammad SAW.

Susulan itu, Jakim memanggil individu tersebut bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara itu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |