Jaga perpaduan seperti menatang minyak penuh – Agong

2 days ago 5

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah menyeru seluruh rakyat agar terus memelihara perpaduan dan keharmonian negara seperti menatang minyak yang penuh.

Dalam perutusan khas sempena Hari Raya Aidilfitri yang disampaikan menerusi kenyataan Istana Negara, baginda menegaskan bahawa perpaduan merupakan asas kenegaraan yang perlu dipupuk dan diwariskan kepada generasi akan datang.

“Setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira kepercayaan agama atau warna kulit mempunyai tanggungjawab antara satu sama lain untuk menjaga perpaduan kita ini, berdasarkan lima Rukun Negara yang harus sentiasa terpahat dalam hati nurani setiap rakyat.

“Dalam memupuk kebersamaan dan perpaduan yang tulus ikhlas secara berhemah dan produktif, usaha yang kukuh juga mesti dilaksanakan untuk membanteras tanpa kompromi sebarang anasir yang membawa ancaman perpecahan,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan bahawa usaha menjaga perpaduan bukan sesuatu yang mempunyai tarikh tamat, sebaliknya perlu dilakukan secara berterusan melalui pendidikan, pemupukan dan penyemaian dalam jiwa rakyat.

“Perpaduan kita tidak patut sekadar di permukaan sahaja, tetapi mesti lebih mendalam, terutamanya apabila timbul keperluan untuk menangani situasi di mana sesetengah perasaan mungkin terguris akibat kejahilan, sama ada yang disengajakan mahupun tidak.

“Saya harap pesanan ini disambut dan diambil tindakan sebaiknya oleh kerajaan dan juga rakyat jelata kerana perpaduan adalah asas kepada kesejahteraan dan kemakmuran kita semua,” titah baginda lagi.

Selain itu, Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada mereka yang gigih berkhidmat untuk negara pada hari mulia ini.

“Jasa dan pengorbanan anda dihargai, semoga anda semua dikurniakan keberkatan dan terus ditiupkan semangat yang kental serta jitu,” titah baginda.

Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta memohon maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Saya dan isteri saya mendoakan semoga sekalian rakyat dan seluruh negara kita dilindungi daripada musibah, insya-Allah.

“Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahid dan batin,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |