‘Jaga adik sindrom Down, rindu rendang kerang arwah ibu’

1 day ago 6

PETALING JAYA – Perit menanggung rindu terhadap orang yang sudah tiada lagi di dunia ini terutamanya ibu sendiri sememangnya sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Itulah nasib dilalui pelakon dan model kacak, Malek McCrone yang kehilangan ibunda tercinta, Allahyarham Aishah Adam disebabkan penyakit kanser tahun lalu.

Sejak ibunya meninggal dunia, Malek atau nama lengkapnya Malek Marcus McCrone, 31, menggalas tanggungjawab untuk menjaga adik perempuannya yang menghidap penyakit sindrom Down.

“Kini saya tinggal bersama dua orang adik saya. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Saya perlu pastikan adik saya gembira hari raya ini.

“Memang terasa sunyi bila ibu sudah tiada kerana arwah ibu saya merupakan ibu dan ayah untuk kami adik-beradik.

“Sejak sebulan yang lalu saya dah carikan pembantu rumah untuk jaga adik saya. Jadi saya tak susah hati seandainya perlu keluar bekerja.

Tambah pelakon drama Malang Si Putri Itu lagi, dia memastikan adik perempuan bersiap sedia menghadapi kehilangan ibunya sebelum ibunya meninggal dunia.

“Saya sempat menjaga ibu selama setahun sebelum dia meninggal. Selama tempoh itu saya sudah latih adik saya untuk menghadapi kehilangan. Saya biar dia tidur dengan ibu.

“Bila tiba waktu ibu pergi, dia sudah faham dan boleh terima. Sebelum ini pun ada ibu saudara kami yang meninggal dunia disebabkan kanser juga. Jadi saya sudah terangkan kepadanya,” jelasnya.

Demi memastikan kenangan arwah ibu tidak terpadam, Malek akan memasak juadah resepi arwah ibunya iaitu rendang kerang.

“Saya rindukan rendang kerang dan rendang itik air tangan arwah ibu. Tahun ini saya akan cuba memasak rendang kerang supaya dapat kurangkan rasa rindu adik-adik saya terhadap arwah ibu,” kongsinya.

Aidilfitri tahun ini, pelakon berdarah kacukan Melayu-Kanada itu pulang beraya di kampung halaman arwah ibunya di Selandar, Melaka untuk bertemu sanak saudara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |