SEREMBAN – Polis Negeri Sembilan berjaya membongkar taktik sindiket yang menjadikan kilang serta beberapa homestay (inap desa) di daerah ini sejak awal tahun sebagai lokasi pemprosesan dan pengedaran dadah bernilai RM38.91 juta.
Ketua Polis Negeri, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof, berkata kejayaan serbuan dilakukan hasil siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sembilan dengan tertangkapnya seorang lelaki warga tempatan berusia 52 tahun di kawasan kilang di industri ringan Jalan Tun Dr Ismail, di sini, kira-kira pukul 6.30 petang, 13 Mac lalu.
Menurutnya, suspek yang dipercayai bertindak sebagai ‘penjaga’ merangkap ahli sindiket itu seterusnya membawa kepada serbuan ke tiga buah lokasi homestay di Taman Sri Rahang, Taman Bidara dan Taman Bukit Kaya.
“Modus operandi sindiket terbabit adalah dengan menjadikan kilang sebagai tempat memproses dan rumah (homestay) sebagai stor simpanan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan iaitu Lembah Klang dan selatan negara.
“Hasil siasatan mendapati sindiket baharu memasuki homestay hampir dua minggu dan akan berpindah randah dari satu homestay ke satu homestay,” katanya pada sidang akhbar di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Dzaffir berkata, jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak 274.14 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah iaitu ketamin seberat 335.65 gram; heroin base (2,058 gram); syabu (12,044 gram); serbuk ekstasi (80,201 gram); pil ekstasi (125,258 gram); pil eramin 5 (39,242 gram) dan 15,000 gram (ganja) bernilai RM38,909,410.
Ujarnya lagi, antara barangan yang dirampas di lokasi serbuan pertama iaitu kilang ialah 63 buah mesin pelbagai jenis disyaki untuk memproses dadah sintetik, 14 balang kaca serta dua buah mesin pencetak pil di lokasi ketiga.
“Tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988 turut diambil iaitu dengan sitaan sebuah kenderaan, wang tunai dan barang kemas yang kesemuanya bernilai RM253,413.32 dengan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan harta sebanyak RM39,162,823.32,” katanya.- KOSMO! ONLINE