PUTRAJAYA – Dua beregu lelaki dan seorang pelumba pecut berbasikal wanita antara muka baharu diserap dalam senarai Program Road To Gold (RTG) 2025 yang kini memfokuskan persiapan lebih awal ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Antara yang menerima suntikan kepercayaan kali ini ialah Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani atau mesra dengan gelaran DinFei berdaarkan kedudukan ranking kedua dunia serta gandingan muda, Man Wei Chong–Tee Kai Wun yang berada di tangga kelapan dunia.
Turut tersenarai atlet berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia menerusi ranking kesembilan dalam acara pecut.
Senarai penuh 21 atlet RTG diumumkan sebentar tadi oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada sidang akhabr khas diadakan di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya.
“Senarai RTG dipilih berdasarkan pencapaian pingat Olimpik dan ranking dunia 10 terbaik. Dana RM10 juta yang diperuntukkan ini akan dinilai semula setiap tahun berdasarkan prestasi dan kelayakan semasa menuju ke Olimpik,” kata Hannah.
Sementara itu, tiga pemanah muda negara, Ariana Nur Dania, Syaqiera Mashayikh dan Nurul Azreena Fazil turut diberi kepercayaan menyertai RTG menerusi program fast track bagi mempercepatkan pembangunan atlet elit baharu menjelang LA28.
“RTG bukan sekadar sokongan kewangan. Ia adalah ekosistem lengkap yang menyediakan fizikal, pemakanan, perubatan sukan, sokongan teknikal, serta program penilaian berterusan,” ujar Hannah.
Untuk kekal dalam program elit tersebut, atlet RTG perlu menepati petunjuk prestasi utama (KPI) ketat, termasuk berada dalam kelompok 8 terbaik dunia menjelang 2026, menyumbang pingat di Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2026
Selain itu, atlet RTG juga perlu mencapai kedudukan 4 terbaik dunia dan layak ke Olimpik secara merit menjelang 2027. – KOSMO! ONLINE