KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merehatkan tiga anggota penguat kuasa yang terlibat dalam insiden dengan peniaga belon di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) malam, kelmarin.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif berkata, tindakan ini diambil bagi memberi laluan kepada siasatan dalaman dijalankan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Beliau berkata, tindakan tersebut juga bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menjalankan siasatan secara bebas, telus dan menyeluruh tanpa sebarang campur
tangan.
“Keputusan ini juga turut dibincang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) (Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa).
“DBKL memandang serius kejadian ini dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku warga kerja, sekiranya dibuktikan bersalah, terutamanya yang menjejaskan integriti dan kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Maimunah, DBKL kekal berprinsip untuk menegakkan tadbir urus yang berintegriti, bertanggungjawab dan berteraskan prinsip keadilan kepada semua pihak.
“Sebarang keputusan akan ditentukan setelah siasatan penuh selesai,” ujarnya.
Dalam perkembangan lanjut, Maimunah berkata, Pengarah Eksekutif (Sosio Ekonomi) dan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan juga mewakili DBKL telah menziarahi peniaga belon, Muhamad Za’imuddin Azlan yang kini sedang menerima rawatan di hospital.
Selain itu, katanya, DBKL turut akan mempertimbangkan untuk menanggung kos rawatan Muhamad Za’imuddin sepanjang tempoh rawatan, tertakluk kepada semakan lanjut dan keperluan perubatan semasa.
“Kami menyeru agar semua pihak mengelak dari membuat spekulasi, bagi membolehkan pihak berwajib menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial video memaparkan pergelutan antara seorang peniaga belon dan penguat kuasa DBKL dalam kejadian di Jalan TAR.
Video tersebut bukan sahaja mendapat pelbagai reaksi daripada orang awam malah mencuri perhatian golongan menteri juga.
Sebelum ini DBKL memaklumkan peniaga belon itu sudah diberi teguran kali ketiga untuk beredar sebelum bertindak agresif dan menolak anggota penguat kuasa DBKL.
DBKL dalam kenyataan berkata, sebelum kejadian kira-kira pukul 11.50 malam itu berlaku, anggota penguat kuasa DBKL yang melakukan rondaan berkala melihat kehadiran beberapa penjaja tanpa lesen menjalankan aktiviti perniagaan di laluan pejalan kaki Jalan TAR.
Katanya, anggota penguat kuasa DBKL telah memberi teguran dan kebanyakan penjaja tanpa lesen memberikan kerjasama dengan beredar dari kawasan tersebut, namun ia tidak berlaku kepada peniaga belon berkenaan.– KOSMO ONLINE