‘Inilah Chow Kit, makanan terlalu banyak, akhirnya bazir’

4 hours ago 2

PETALING JAYA – Tular di media sosial luahan seorang individu yang kecewa melihat longgokan makanan tidak terusik di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur, selepas mendakwa terlalu banyak pihak datang menghulurkan sumbangan.

Menerusi hantaran yang dimuat naik lelaki yang dikenali sebagai Cikgu Jinggo (Harun Abu Bakar) di aplikasi Thread, sumbangan yang berlebihan itu menyebabkan ada makanan yang tidak habis lalu dibuang begitu sahaja.

Beberapa keping gambar turut dimuat naik memaparkan banyak makanan tidak terusik dan dibuang di tepi jalan atau tong sampah sehingga merosakkan pemandangan di ibu kota tersebut.

“Inilah budaya Chow Kit. Makanan dah banyak orang bagi, akhirnya dibazirkan,” kata pengguna itu dalam hantaran tersebut.

Di dalam hantaran berbeza, Cikgu Jinggo turut memuat naik video memaparkan Mak Wan dipercayai merupakan salah seorang penghuni di Chow Kit.

Mak Wan berkata, pihak yang membuat sumbangan sepatutnya bertanggungjawab jika tidak habis dengan mengutip semula semua bekas-bekas makanan.

“Banyak, kenyang dah. Siapa mampu makan lebih daripada 10 bungkus ni? Tapi orang datang (dah bagi) kita ambil.

“Lepas itu orang ‘complain’ kenapa makanan bersepah sebab (mereka derma) lepas tu tinggal. Bagi saya, kerjasama lepas dah sumbang, kalau nampak orang tak ambil, ‘clear’ kan sendiri,” kata Mak Wan.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang menggesa pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyumbang makanan kepada mereka yang lebih memerlukan seperti pelajar universiti.

“Suasana pagi, dalam perjalanan ke pejabat memang makanan bersepah ya, tolonglah tak perlu bagi makanan dah. Baik bagi dekat pelajar universiti,” komen Amni.

“Baik bagi makanan dekat pelajar universiti, ramai yang ‘struggle’, duit belanja sehari pun cukup-cukup makan. Sekurang-kurangnya mereka hargai sumbangan,” komen Zulkifli.

“Dahulu aku pernah join sukarelawan bagi makanan di Chow Kit, tetapi dapat tahu ramai lagi NGO sumbang juga, sudahnya berlambak makanan untuk kelompok yang sama,” komen Nurhalimatun pula. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |