PETALING JAYA – Bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau kronik tidak terkawal antara syarat kesihatan diperkenalkan Kerajaan Arab Saudi bagi jemaah haji Musim 1447H/2026M.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamad berkata, antara syarat lain yang perlu dipatuhi sebelum memperoleh visa ialah jemaah mestilah berupaya menjalankan ibadah haji secara berdikari tanpa bantuan orang lain.
Menurutnya, syarat kesihatan baharu itu sebagai langkah memastikan hanya individu benar-benar sihat dibenarkan menunaikan ibadah haji.
“Jemaah tidak dianggap layak sekiranya menghidap penyakit seperti kegagalan buah pinggang, penyakit jantung serius, paru-paru kronik, hati kronik, masalah neurologi atau mental yang menjejaskan fungsi kognitif.
“Selain itu, jemaah warga emas dengan dementia atau fizikal lemah, kehamilan berisiko tinggi, penyakit berjangkit aktif serta kanser yang masih dalam rawatan turut tergolong dalam syarat baharu ditetapkan kerajaan Arab Saudi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
TH turut menekankan bahawa pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan, kebajikan dan keselesaan jemaah haji Malaysia sebagai teras pengurusan operasi setiap tahun.
Menurutnya, TH memandang serius aspek kesihatan jemaah terutama ketika berada di Tanah Suci dan setiap tahun sebahagian besar petugas kesihatan yang dihantar ke sana terdiri daripada pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagi musim haji 1447H/2026M, TH tetap menyediakan klinik kesihatan di semua bangunan penginapan jemaah di Makkah dan Madinah yang dilengkapi klinik pesakit luar serta farmasi.
Bagaimanapun, TH tidak lagi dibenarkan membuka pusat rawatan sendiri di Tanah Suci dan jemaah yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk ke hospital-hospital kerajaan Arab Saudi dengan pemantauan pakar perubatan KKM.
“TH juga telah merancang untuk menyediakan kemudahan kesihatan di hospital swasta Arab Saudi sekiranya perlu. TH dengan kerjasama KKM menyediakan 225 petugas kesihatan pada musim haji 1447H/2026M,” katanya.
Tambahnya, jemaah diingatkan membuat persediaan kesihatan fizikal secukupnya kerana akan berada dalam suasana panas dan berdebu untuk tempoh yang panjang di Arab Saudi.- KOSMO! ONLINE.