Impak sentuhan ‘emas’ Naga Api

1 day ago 6

BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuktikan bisa mereka masih belum hilang apabila menyambar gelaran juara Asia selepas memenangi Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China.

Kemenangan itu memastikan Malaysia akhirnya menamatkan kemarau kejuaraan selama 18 tahun dalam acara beregu lelaki selepas kali terakhir dimenangi gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada 2007.

Tidak dilupakan juga kejayaan itu hadir menerusi sentuhan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi yang membimbing mereka sejak dibawa masuk ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada Februari lalu.

Herry meluahkan rasa gembira atas kejuaraan diraih anak-anak buahnya selain menganggap Aaron-Wooi Yik menampilkan aksi cukup konsisten sejak awal saingan hingga ke perlawanan akhir.

“Pertama sekali, saya gembira kerana dapat membantu Aaron-Wooi Yik mendapatkan kejuaraan pada BAC kali ini. Kalau dilihat sejak dari awal hingga ke final, memang mereka bermain dengan sangat konsisten.

“Ini bermakna mereka dapat menterjemahkan perancangan yang dibuat dengan baik sehingga meraih kejuaraan. Program latihan yang diberikan juga berjalan tanpa sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada aksi final kelmarin, Aaron-Wooi Yik mendiamkan Pusat Sukan Olimpik Ningbo apabila menewaskan pasangan tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi menerusi aksi straight set 21-19, 21-17 dalam tempoh 47 minit.

Tambah Herry yang diberikan julukan Naga Api, bekas juara dunia itu masih memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri sepenuhnya dengan corak permainan diterapkan selain mengharapkan Aaron-Wooi Yik kekal konsisten.

“Sebenarnya mereka sudah cukup baik, input yang saya berikan tidak banyak tetapi memang masih perlukan masa untuk sesuaikan diri dengan cara serta program saya. Diharapkan mereka terus konsisten dan meraih lebih banyak gelaran,” ujarnya.

Pengarah Kejurulatihan Beregu ABM, Rexy Mainaky mengakui Aaron-Wooi Yik mempamerkan aksi cukup kemas dan mula memahami apa yang dimahukan Herry dalam permainan mereka.

Read Entire Article
Pertanian | | | |