KULIM – Seorang ibu kepada tiga anak yang menghilangkan diri selepas keluar ke kedai dobi di Jengka, Pahang ditemukan dalam bilik hotel bersama kenalan lelakinya di Lunas, di sini awal pagi ini.
Wanita berusia 33 tahun yang masih berstatus isteri orang itu dicekup dengan lelaki bujang berusia 30 tahun dalam operasi pencegahan jenayah syariah oleh Penguat Kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) kira-kira pukul 3.40 pagi tadi.
Difahamkan, wanita terbabit memandu kereta dari Jengka pada Sabtu lalu ke rumah sepupunya di Padang Serai sebelum pergi ke hotel tersebut.
Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, pihaknya melakukan operasi pencegahan jenayah syariah di hotel berkenaan selepas menerima maklumat daripada suami wanita terbabit yang berusia lingkungan 30-an.
Katanya, difahamkan wanita terbabit keluar dari rumahnya di Jengka dengan memberi alasan mahu ke kedai dobi untuk mencuci pakaian.
“Namun selepas tidak pulang ke rumah, suami wanita terbabit mula risau dan membuat laporan polis mengenai kehilangannya dan pada masa sama cuba mengesannya.
“Hasil usaha suaminya itu, dia dapat mengesan lokasi isterinya itu iaitu di sebuah hotel di Lunas dan turut menghubungi pihak kami (PADK) untuk memakluman kes khalwat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, wanita terbabit dikatakan pernah menjalinkan hubungan dengan lelaki itu ketika dia masih bujang dan tinggal di Padang Serai.
“Hubungan dengan bekas teman lelakinya itu bagaimanapun terputus selepas dia berkahwin dan berpindah ke Pahang.
“Walau bagaimanapun wanita itu dapat menghubungi semula lelaki terbabit dan sanggup memandu sejauh lebih 400 kilometer untuk bertemu bekas kekasihnya itu,” jelasnya.
Menurutnya, hasil soal siasat, lelaki terbabit berasal dari Padang Serai dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di kawasan Kulim Hi-Tech,” katanya.
Tambahnya, pasangan itu ditahan selepas tiada bukti atau dokumen hubungan mahram dan disyaki berkhalwat dengan kes disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014. – KOSMO! ONLINE