Hanya sempat jadi suami tujuh bulan

1 day ago 7

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki hanya sempat menikmati alam perkahwinan selama tujuh bulan apabila dia maut dirempuh pemandu mabuk ketika membantu mangsa kemalangan dalam kejadian di Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi di sini semalam.

Kejadian pada pukul 2 pagi itu mengakibatkan penghantar makanan, Mohd. Taufik Ariff Sariff, 37, maut di lokasi kemalangan selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan akibat dilanggar sebuah kereta jenis BMW dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun.

Isteri mangsa, Suhaidah Yusof, 40, memberitahu, mereka dalam perjalanan pulang selepas keluar makan bersama rakan-rakan suaminya di Desa Cemerlang, Bakar Batu di sini, sebelum kejadian berhampiran sebuah stesen minyak memasuki Taman Desa Jaya itu berlaku.

Katanya, suaminya terus memberhentikan kereta di tepi jalan selepas ternampak serpihan motosikal akibat kemalangan.

“Kemudian suami keluar kereta kerana ketika itu sudah ramai yang berhenti untuk membantu mangsa kemalangan dan kawal lalu lintas. Tidak lama kemudian, saya dengar bunyi dentuman tetapi saya tidak keluar.

“Tidak lama ada orang datang dan maklumkan suami terbaring kena langgar. Saya terus menghubungi adik ipar dan keluar untuk dapatkan suami yang ketika itu sudah nazak,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini semalam.

Difahamkan, pemandu kereta BMW itu dikatakan cuba me­larikan diri selepas merempuh mangsa sebelum berjaya ditahan kira-kira 800 meter oleh orang awam untuk diserahkan kepada pihak polis.

Suhaidah yang bekerja sebagai kerani mengakui masih terkejut dan trauma selepas kehila­ngan suami tercinta lebih-lebih lagi ketika umat Islam masih lagi meraikan Aidilfitri.

“Kami baharu sahaja mendirikan rumah tangga pada September lalu selepas dua tahun berkenalan. Kenangan terakhir bersama arwah ialah kami beraya sebagai suami isteri dan sempat buat ‘fotoshoot’ raya,” katanya.

Ujar Suhaidah, dia reda ­dengan ketentuan Ilahi apatah lagi masih lagi dalam fasa bulan madu kerana baharu tujuh bulan membina mahligai cinta.

Katanya, tiada perubahan pelik berlaku ke atas suaminya, namun pada malam Jumaat lalu, arwah suaminya terbaring di luar rumah dan banyak termenung selain tidak banyak bercakap.

“Sehari sebelum kejadian dia ada mengadu panas badan dan pening selain banyak terbaring dan berdiam. Malam tadi keluar bersiar-siar dan makan bersama kawan-kawan dia cakap sakit itu hilang,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Sariff Ahmad, 53, berkata, arwah pernah menyatakan hasrat untuk membantu membina rumah baharu keluarga dan merupakan anak yang suka membantu selain selalu memberi wang.

“Dia anak bertanggungjawab dan mahu bantu tampung belanja buat baik pulih rumah. Tetapi hasrat dia tak kesampaian kerana Allah lebih menyayanginya,” katanya.

Menurut Sariff, dia dan isteri, Rohana Rosli, 54, mendapat tahu kejadian itu selepas dimaklumkan oleh anak kedua ketika sedang tidur di rumah di Batu 4, Kampung Lukut, Kota Tinggi.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin Lama, Kota Tinggi.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Suhaimi Ishak mengesahkan pemandu BMW itu berada dalam keadaan mabuk dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Katanya, sebelum kejadian, mangsa sedang membantu lelaki Myanmar yang terbabas ketika menunggang motosikal SYM BX110. Lelaki itu meninggal dunia.

“Hasil ujian pernafasan mendapati suspek memandu kereta ketika sedang mabuk,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |