KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Sesyen yang mendengar kes dengan tegas menegur tindakan lelaki warga Israel Avitan Shalom berkaitan senjata api dan peluru yang memohon khidmat jurubahasa pada saat akhir perbicaraan bermula.
Semasa prosiding hari ini, Hakim Norina Zainal Abidin bertanya sendiri kepada Avitan apakah jenis bahasa yang difahami memandangkan pada perbicaraan hari pertama yang sepatutnya bermula semalam tertuduh memohon jurubahasa Ibrani.
Hakim: Avitan apa bahasa yang kamu faham (bagi perbicaraan ini)?
Avitan: Saya faham bahasa Ibrani namun memahani bahasa Inggeris yang mudah.
Saya juga tidak boleh berbahasa Arab.
Hakim: Masa yang diambil adalah hampir sembilan bulan dan sepanjang tempoh itu anda diwakili oleh peguam. Isu jurubahasa tidak pernah dibangkitkan atau dibawa ke perhatian mahkamah sama sekali semasa pengurusan kes tersebut. Hasrat kamu untuk meminta jurubahasa telah dibawa kepada mahkamah pada saat akhir iaitu pada hari pertama perbicaraan yang sepatutnya dimulakan.
Justeru Hakim Norina kemudian menetapkan 13 Januari ini bagi mula bicara hari pertama kes itu dengan tarikh-tarikh yang ditetapkan pada minggu ini dilapangkan.
“Selepas tiada bantahan pihak-pihak (pendakwaan dan pembelaan) termasuk hak tertuduh dan bahasa yang difahami mahkamah akan memberi satu peluang lagi bagi jurubahasa Ibrani. Oleh itu, kes akan ditangguhkan ke Isnin ini (13 Januari),” katanya.
Sebelum ini mahkamah telah menetapkan selama 12 hari bagi perbicaraan kes itu dengan tarikh-tarikh perbicaraan ialah 6 hingga 9, 13 hingga 16 serta 20 hingga 23 yang mana kesemua tarikh itu pada bulan Januari 2025.
Seramai 30 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan dalam kes itu.
Semasa prosiding pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P.Kunyalam manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Naran Singh.
Sebelum ini Avitan, 39, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pindaan yang dibacakan semula terhadapnya dalam bahasa Inggeris.
Mengikut pertuduhan pindaaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19 (Nombor Siri AEGS286); Sig Sauer P3205P (Nombor Siri 58C283463); Cougar 8000FT (Nombor Siri T6429-10G002496); Glock 17 Gen4 Austria 9×19 (Nombor Siri: BDZZ090); M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA (Nombor Siri: DSW9077) dan Stoeger Cougar 8000F (Nombor Siri T6429-08-A029304).
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara pukul 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac lepas. – KOSMO! ONLINE