KETIADAAN Datuk Azizulhasni Awang dalam kem kebangsaan tidak lagi menjadi persoalan besar, sebaliknya membuka ruang kepada pelumba muda negara untuk menyinar menjelang Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.
Status jaguh dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ itu masih menjadi tanda tanya kerana belum memutuskan sama ada meneruskan kariernya atau bersara selepas tamat Sukan Olimpik Paris 2024.
Sasaran memburu pingat kini beralih kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri yang dilihat berpotensi besar untuk meraih pingat dalam acara berbasikal trek.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, dua pelumba berbakat negara itu bakal menjadi aset utama negara.
“Sasaran sememangnya tertumpu pada acara trek kepada Shah (Firdaus) dan Izzah,” kata Amarjit selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan Jersi Rasmi antara Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dan ISports Wear di Kuala Lumpur kelmarin.
Terdahulu, Amarjit memaklumkan satu sidang media khas bersama Azizulhasni petang ini yang bakal merungkai segala persoalan mengenai masa depan legenda berbasikal negara itu.
“Segala penjelasan akan datang daripada beliau sendiri. Kami hormati apa jua keputusannya,” jelasnya.
Bagi acara berbasikal lebuh raya, Amarjit memaklumkan proses pemilihan akan dilakukan bagi memastikan hanya pelumba terbaik membarisi kontinjen negara ke Sukan Asia tahun hadapan.
Pada edisi lalu di Hangzhou 2022, kem berbasikal trek negara meraih empat gangsa masing-masing dalam acara perseorangan dan berpasukan.
Shah meraih pingat gangsa dalam acara pecut individu dan keirin, manakala trio pecut berpasukan lelaki diwakili Umar Hasbullah, Muhammad Ridwan Sahrom dan Muhammad Fadhil Zonis turut membawa pulang gangsa.
Satu lagi gangsa berjaya disumbangkan trio pecut berpasukan wanita diketuai Izzah, Nurul Aliana Syafika Azizan dan Anis Amira Rosidi.