GEFC perkukuh sukan footgolf Malaysia

4 hours ago 1

PETALING JAYA – Sukan footgolf di Malaysia bakal melalui fasa baharu dengan kerjasama strategik antara Kelab Footgolf Gemilang Empire (GEFC) dan empat rakan kolaborasi iaitu AmourZero Malaysia, Juragan, Forfit Malaysia dan Fakulti Sains Sukan & Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Kerjasama itu bukan sekadar perjanjian di atas kertas, tetapi satu langkah konkrit untuk membangunkan sukan footgolf di Malaysia melalui pembangunan bakat, program latihan, fasiliti bertaraf tinggi serta kajian akademik.

Dengan populariti footgolf yang semakin meningkat di peringkat antarabangsa, Malaysia tidak mahu ketinggalan dalam melahirkan pemain berbakat dan mengukuhkan infrastruktur sukan tersebut.

Menurut Penasihat GEFC, Mohd Fahmi Mohd. Hatta, kolaborasi itu bakal membuka lebih banyak peluang kepada pemain dan komuniti sukan berkenaan di Malaysia.

“Kerjasama ini adalah satu langkah penting dalam mencapai matlamat kami untuk memajukan lagi sukan footgolf dan memberi manfaat kepada komuniti footgolf khususnya dan negara amnya,” katanya.

Selain aspek pembangunan atlet, memorandum persefahaman (MoU) itu juga menumpukan kepada inisiatif pendidikan dan penyelidikan dengan Fakulti Sains Sukan & Rekreasi UiTM berperanan sebagai rakan akademik dalam kajian serta analisis sukan ini.

Langkah itu bukan sahaja meningkatkan pemahaman teknikal footgolf tetapi juga menyumbang kepada perancangan strategik untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu kuasa besar sukan tersebut di rantau Asia.

Sebagai sebuah kelab yang berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan Malaysia sejak 2022, GEFC kini bersedia untuk memperluaskan lagi pengaruhnya dalam sukan berkenaan.

Perkongsian bersama entiti sukan dan akademik dijangka menjadi pemangkin kepada penganjuran kejohanan lebih kompetitif, peningkatan fasiliti serta penubuhan akademi footgolf yang lebih sistematik. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |