Gadis tular ‘diriba’ peroleh SPM 8A, merayu mahu belajar

2 hours ago 4

JASIN – Tertuduh wanita yang tular memandu bas sambil diriba kekasihnya merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat keputusan 8A 2B kira-kira tiga tahun lalu.

Pernyataan tersebut dibuat Nur Adila Najwa Ilham Ameerullah, 21, selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dihadapinya di Mahkamah Majistret Jasin, hari ini.

Nur Adila dan kekasihnya, Arif Fahmi Abd. Salam, 36, didakwa secara bersama-sama di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2020) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, mereka didapati sebagai pemandu bas bernombor pendaftaran APE 9588 telah membantu kenderaan tersebut dengan cara yang merbahaya kepada orang awam.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 7.30 petang di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dalam daerah ini pada 12 April 2026.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan.

Dalam prosiding sama, Nur Adila turut didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina seorang penumpang wanita berusia 44 tahun yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100.

Dalam prosiding di hadapan Majistret Mazana Sinin, Nur Adila dalam rayuannya memberitahu dia telah dijaga oleh neneknya sejak bayi di Kedah dan memperoleh keputusan 8A dan 2B dalam SPM.

“Saya dapat keputusan 8A 2B dalam SPM dan duduk dengan tok (nenek) sejak bayi, ibu berpantang.

“Saya ada dapat tawaran belajar tapi tak berkemampuan, selepas tok meninggal tak ada yang menanggung saya jadi saya telah berhijrah untuk mencari kerja.

“Saya berharap hukuman ringan diberikan kerana saya mahu sambung belajar,” katanya dalam nada sebak.

Selepas mendengar rayuan tersebut dan mengambil kira usia Nur Adila yang masih muda, mahkamah menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM5,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar bagi Seksyen 42(1) APJ 1987.

Dia turut dikenakan denda RM100 atau 14 hari denda jika gagal bayar bagi Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan lesen memandu digantung selama lima tahun dari tarikh sabitan.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |