PETALING JAYA – Pempengaruh dan aktivis kemanusiaan, Farah Lee menegaskan pendiriannya untuk tidak menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, sebaliknya menyeru orang ramai agar memberi tumpuan kepada misi kemanusiaan, bukan individu yang terlibat.
Menerusi satu hantaran di Threads, Farah berkata keputusan itu telah dibuat sejak awal atas sebab peribadi dan kontroversi yang tidak didedahkan kepada umum.
“Saya tidak menyertai GSF 2.0 dan telah lama memutuskan untuk tidak memohon menyertai misi ini atas sebab peribadi dan kontroversi,” katanya.
Dalam masa sama, Farah menjelaskan bahawa sepanjang penyertaannya dalam GSF 1.0 sebelum ini, dia sengaja mengurangkan pendedahan media bagi memastikan fokus kekal kepada misi, bukannya peserta.
“Sepanjang GSF 1.0, saya menolak kebanyakan temu bual media untuk memastikan fokus kekal pada misi, bukan peserta,” ujarnya.
Menurutnya, dakwaan bahawa dia tidak lagi aktif membantu Gaza adalah tidak tepat kerana dia masih terlibat secara langsung dalam kerja kemanusiaan di lapangan.
“Saya adalah pekerja kemanusiaan di lapangan. Saya terus menyalurkan bantuan ke Gaza termasuk sepanjang misi musim sejuk dan Ramadan tahun ini,” katanya.
Tambahnya, dia juga melancarkan peluang tajaan bagi membantu anak-anak yatim di Gaza menerusi program pengangkatan.
Mengulas lanjut, Farah menegaskan bahawa setiap individu mempunyai peranan dan kapasiti berbeza dalam memperjuangkan isu Palestin.
“Setiap orang ada tugas, ruang dan kapasiti berbeza dalam perjuangan untuk Palestin. Fokus kepada misi, bukan ahli yang menyertai misi,” katanya.
Dalam pada itu, Farah turut mengingatkan bahawa penderitaan rakyat Palestin tidak seharusnya tenggelam hanya kerana perhatian diberikan kepada individu tertentu.
“Isunya jauh lebih besar, melibatkan dekad ketidakadilan terhadap rakyat Palestin,” jelasnya.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan untuk menyertai misi seumpama itu pada masa akan datang sekiranya diperlukan. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
5

![[VIDEO] Siapa tujuh gadis pakat beraya sakan pakai baju pengantin?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/WhatsApp-Image-2026-04-17-at-10.19.21-AM.jpeg)













































