FFM34 kembali, kategori Lagak Ngeri Terbaik diperkenalkan

1 month ago 27

HULU KELANG – Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) mencatat sejarah tersendiri apabila memperkenalkan satu kategori baharu, Anugerah Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik sebagai penghormatan kepada penggiat seni aksi tanah air.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pengiktirafan itu diberikan buat pelakon aksi serta tenaga produksi yang sering mempertaruhkan nyawa demi menjayakan adegan berisiko tinggi dalam sesebuah karya.

“Sukacita saya umumkan bahawa FFM34 bakal menyaksikan penambahan kategori baharu iaitu Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik.

“Penghargaan ini khusus buat insan-insan di sebalik babak lasak. Keberanian dan profesionalisme mereka wajar diraikan,” katanya ketika ditemui pada sidang media FFM34 di sini, hari ini.

Tambah beliau, lonjakan penghasilan filem aksi tempatan membuktikan mutu penerbitan dalam negara bukan sahaja meningkat dari segi teknikal malah berjaya menambat hati penonton.

“Kejayaan filem-filem aksi kebelakangan ini menunjukkan nilai tontonan tinggi dan kualiti produksi yang semakin baik.

“Kategori ini diwujudkan bagi meraikan semangat luar biasa pelakon lagak ngeri dan pasukan teknikal yang menjadi nadi adegan paling mencabar,” ujarnya

Pemenang bakal menerima trofi khas bersama wang tunai RM5,000 sebagai simbol pengiktirafan atas dedikasi mereka.

Sementara itu, Pengarah FFM34, Raja Mohammad Adhzim Raja Ahmad mengumumkan sebanyak 30 kategori dipertandingkan tahun ini, dengan penyertaan dibuka bermula 8 hingga 18 Julai ini.

“Kami menjemput semua karya tempatan yang diterbitkan antara 1 Julai 2024 hingga 30 Jun tahun ini untuk menghantar penyertaan dalam mana-mana kategori yang sesuai,” jelasnya.

FFM34 akan berlangsung pada 8 November ini di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri.

Acara prestij itu dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan disiarkan secara langsung ke seluruh negara.

Mengangkat tema ‘Karya Kreatif, Sinema Dinamik’, festival tahun ini meraikan kepelbagaian pendekatan bercerita dan keberanian menjelajah sempadan seni visual.

Tema tersebut menurut penganjur, mencerminkan sinema sebagai cerminan denyut nadi masyarakat moden yang bergerak selari dengan teknologi dan realiti sosial semasa. – KOSMO! ONLINE

Senarai penuh 30 kategori yang dipertandingkan dalam FFM34: 

1.Filem Terbaik

2.Pengarah Terbaik

3.Pelakon Lelaki Terbaik

4.Pelakon Wanita Terbaik

5.Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik

6.Pelakon Pembantu Wanita Terbaik

7.Pelakon Kanak-Kanak Terbaik

8.Pengarah Harapan

9.Pelakon Lelaki Harapan

10.Pelakon Wanita Harapan

11.Cerita Asal Terbaik

12.Lakon Layar Terbaik

13.Sinematografi Terbaik

14.Penyunting Terbaik

15.Penataan Bunyi Terbaik

16.Penataan Seni Terbaik

17.Kesan Khas Visual Terbaik

18.Skor Muzik Terbaik

19.Lagu Tema Terbaik

20.Tatarias/Solekan Terbaik

21.Rekaan Kostum/Busana Terbaik

22.Poster Terbaik

23.Filem Pendek Terbaik

24.Dokumentari Terbaik

25.Anugerah Khas Karyawan

26.Anugerah Khas Sepanjang Zaman

27.Anugerah Khas Juri 1

28.Anugerah Khas Juri 2

29.Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik

30.Anugerah Khas Filem Box Office

Read Entire Article
Pertanian | | | |