EPL: The Gunners ‘bedil’ Chelsea di Emirates

3 hours ago 2

LONDON – Arsenal menepati ramalan apabila memenangi aksi derbi London pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Chelsea 1-0 di Stadium Emirates sebentar tadi.

Beraksi di gelanggang sendiri nyata memberi kelebihan buat pasukan tangga kedua liga itu apabila memulakan perlawanan dengan aksi agresif menerusi serangan-serangan yang dilakukan.

Dalam tempoh 15 minit pertama, Chelsea kelihatan ‘lemas’ apabila diasak bertalu-talu jentera serangan The Gunners dan hampir sahaja bolos pada minit ke-12 hasil situasi kelam-kabut di depan gol.

Bagaimanapun, lima minit berselang, gol yang ditunggu-tunggu akhirnya menjelma selepas penyerang, Mikel Merino menanduk masuk sepakan penjuru yang dilakukan Martin Odegaard.

Tersentak dengan gol tersebut, Chelsea kemudiannya cuba memperkemaskan permainan dan hampir menyamakan kedudukan menerusi Marc Cucurella pada minit ke-37, namun percubannya ditepis David Raya.

KEMENANGAN ke atas Chelsea terus menyalakan harapan Arsenal untuk mengejar pendahulu liga, Liverpool. – AFP

Bersambung separuh masa kedua, Chelsea terus berusaha untuk memburu gol penyamaan, namun tidak banyak gerakan berbahaya dilakukan jentera serangan The Blues yang mampu mengancam pintu gol Arsenal.

Kemudiannya, Arsenal hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-59, namun penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez cemerlang menyelamatkan percubaan voli dilakukan Merino.

Pada 10 minit terakhir perlawanan, The Gunners memperkemaskan benteng pertahanan apabila hampir kesemua pemain berkampung di kawasan sendiri bagi mengekang asakan lawan.

Walaupun Chelsea mengerah segala-galanya dalam usaha memburu gol penyamaan, namun mereka terpaksa berputih mata apabila kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |