EPL: Derbi London sasaran Chelsea

1 month ago 32

LONDON – Pengendali Chelsea, Enzo Maresca sudah sedia untuk melupakan kegembiraan selepas kemenangan selesa 5-1 ke atas Southampton sebelum ini menjelang aksi derbi London menentang Tottenham Hotspur tengah malam ini.

Dalam satu muat naik di laman media sosial, Maresca mengakui pasukannya sudah bersedia dengan tenaga dan motivasi baharu untuk terus mempamerkan peningkatan pada aksi berikutnya.

“The Blues berjaya meledak 57 gol dalam 22 perlawanan untuk semua kejohanan musim ini dan ia merupakan nisbah terbaik pernah dicatatkan dalam sejarah kelab ini,” katanya.

Kenyataan itu seakan memberi amaran kepada Spurs bahawa Chelsea ketika ini terutama jentera serangan mereka sedang berada pada kemuncak terbaik dan terus dahagakan jaringan pada aksi derbi London itu.

Bagaimanapun, beliau enggan para pemainnya ‘tenggelam’ dalam keyakinan yang melampau apabila menyifatkan mereka masih belum layak untuk diletakkan status sebagai pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

“Ia mungkin satu tekanan yang bagus untuk saya dan pemain apabila diletakkan status sebagai pencabar kejuaraan. Namun, kami masih belum berada di tahap itu ketika ini.

“Arsenal sejak dua musim lalu sangat-sangat hampir dengan Manchester City dan Liverpool. Kami belum berada di sana, tetapi berharap untuk berada di sana sedikit masa lagi,” jelasnya.

Dalam pada itu, Maresca turut mendedahkan mengenai posisi penjaga gol pada perlawanan menentang Spurs nanti ekoran persaingan sengit antara Robert Sanchez dan Filip Jorgensen untuk merebut kesebelasan utama.

Aksi menentang Southampton sebelum ini menyaksikan Jorgensen diturunkan sebagai penjaga gawang utama menggantikan Sanchez yang direhatkan, namun dia gagal untuk memastikan gawangnya kebal tanpa dibocori.

“Pada perlawanan itu, Sanchez akan beraksi bersama 10 pemain lain. Buat masa ini, satu-satunya pemain yang pasti diturunkan adalah Sanchez,” ujar Sanchez. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |