Empat jam Cheri, Rambai pujuk Hafiz 11 berpindah

3 hours ago 4

GUA MUSANG – Dua ekor gajah denak, Cheri dan Rambai berjaya memujuk seekor gajah liar yang dikenali sebagai Hafiz 11 dalam tempoh hampir empat jam dalam satu operasi pemindahan gajah di Felda Aring 10 di sini hari ini.

Operasi yang dikendalikan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang dan Unit Tangkapan Gajah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan itu bermula pukul 8 pagi dengan penggunaan teknik pemujukan dan kawalan oleh gajah denak bagi menenangkan haiwan berkenaan.

Penolong Pengurus Ladang Felda Aring 11, Mohd. Hafiz Abdul Aziz berkata, operasi berkenaan bukan sesuatu yang mudah apabila pasukan Perhilitan terpaksa berkampung lebih seminggu di kawasan terbabit bagi menjejak dan menangkap gajah liar tersebut.

Katanya, penduduk Felda Aring 10 dan 11 yang sebelum ini hidup dalam kebimbangan menarik nafas lega apabila operasi tersebut berjaya diselesaikan tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Kami lega dua ekor gajah yang sering berkeliaran di kawasan perumahan dapat dipindahkan pada Ahad dan hari ini.

“Kepakaran pasukan Perhilitan serta dua gajah denak berjaya memastikan operasi berjalan lancar. Kami berharap gangguan gajah liar akan berkurangan selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Ladang Felda Aring 10, Ismail Md. Taha pula berkata, gangguan gajah liar itu biasanya berlaku pada waktu lewat petang dan malam apabila ada pekerja yang pernah terserempak dengan haiwan liar berkenaan.

Katanya, dia berharap agar penduduk dan pekerja menjaga keselamatan serta terus melaporkan kepada pihak pengurusan ladang sekiranya menyedari kehadiran gaja liar di kawasan mereka.

“Alhamdulillah, kita berjaya bekerjasama dengan Perhilitan untuk pindahkan gajah liar dari kawasan ladang ini yang sering memasuki kawasan perumahan dan memberi ancaman keselamatan.

“Sebelum ini, pekerja bergerak dan melakukan bekerja secara berkumpulan. Kami lega gajah liar yang diberi nama Man 10 dan Hafiz 11 berjaya dipindahkan ke habitat yang lebih sesuai bagi mengelakkan konflik berulang dengan penduduk setempat,” katanya.

Akhbar Kosmo! sebelum ini melaporkan, ketakutan berdepan kehadiran gajah liar menyebabkan 500 penduduk dan pekerja di kawasan Felda Aring 10 dan 11 di sini terpaksa mengehadkan pergerakan dan jarang keluar rumah pada waktu malam sejak hampir dua tahun lalu.

Kebimbangan itu bagaimanapun berakhir apabila dua ekor gajah jantan yang diberi nama Man 10 dan Hafiz 11 berjaya ditangkap dan dipindahkan oleh Perhilitan pada Ahad lalu.

Cheri dan Rambai membantu memindahkan Man 10 pada Ahad lalu sebelum proses sama dijalankan hari ini melibatkan Hafiz 11. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |