EFL: Penantian 70 tahun Newcastle United berakhir

5 hours ago 1

LONDON – Pengurus Newcastle United, Eddie Howe bangga apabila pasukannya memahat sejarah dengan menamatkan penantian 70 tahun tanpa kejuaraan peringkat domestik selepas menjulang trofi Piala Liga Inggeris (EFL) awal pagi semalam.

Pada aksi di Stadium Wembley itu, skuad The Magpies berjaya mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk memberi tekanan kepada juara bertahan, Liverpool untuk melakar kemenangan dramatik 2-1.

Lebih manis, ia adalah trofi pertama di peringkat domestik buat Newcastle selepas kali terakhir menang pada 1955 ketika menjuarai trofi Piala FA.

Menurut Howe, apa yang dilakukan oleh pasukan sesuatu yang akan dikenang untuk tempoh yang cukup lama kerana bukan mudah untuk menewaskan The Reds yang dianggap pilihan utama untuk menang aksi kali ini.

“Saya tidak sangka kita dapat tamatkan penantian trofi buat pasukan dan ini adalah detik yang tidak akan dilupakan. Ada banyak cara untuk bergelar juara tetapi kali ini kita beraksi dengan cukup luar biasa.

“Di atas padang, jelas kita adalah pasukan yang lebih baik meskipun menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) yang memiliki rekod cukup konsisten musim ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Howe turut berbangga dengan pencapaian menjadi jurulatih England pertama menjulang trofi selepas kali terakhir dilakukan oleh Harry Redknapp ketika membantu Portsmouth menang Piala FA edisi 2008.

Kata Howe, kemenangan ini diharap dapat membuka ruang buat pasukan untuk mencipta kejayaan yang lebih hebat pada masa akan datang.

“Kejayaan ini boleh dianggap seperti langkah kanan buat pasukan dalam usaha menjulang trofi pada musim akan datang dan ini adalah cabaran buat semua pemain saya,” katanya.

Sementara itu, kapten Newcastle, Bruno Guimaraes mengakui ini adalah detik terbaik dalam karier sepanjang hampir tiga tahun mewakili pasukan sejak berhijrah daripada Olympique Lyon pada 2022.

“Kejayaan ini didedikasi buat penyokong kami. Bagi mereka, ia seperti aksi final Piala Dunia kerana tidak ramai yang pernah menyaksikan pasukan menjulang trofi sepanjang hidup mereka,” katanya. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |