EFL: Newcastle mahu kemarau panjang berakhir

6 hours ago 1

LONDON – Pengurus Newcastle United, Eddie Howe mengakui terdesak untuk membantu pasukan menamatkan kemarau 56 tahun tanpa trofi pasukan menjelang aksi final Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Liverpool di Stadium Wembley tengah malam ini.

Menurut Howe, semua pemain kini cukup semangat dan bermotivasi untuk memastikan pasukan dapat menghadiahkan kejayaan bermakna buat penyokong setia The Magpies selepas kali terakhir menjulang trofi pada tahun 1969.

“Ini bakal jadi perlawanan yang sukar kerana kita terbeban dengan tekanan untuk menamatkan kemarau panjang pasukan. Saya juga faham kehendak peminat setia yang mahukan trofi bermakna buat pasukan musim ini.

“Saya harap apa yang dilalui ketika ini tidak membuatkan pemain dalam keadaan tertekan sebaliknya cukup semangat untuk menjadikan sejarah itu sebagai motivasi bagi tampil lebih baik pada perlawanan nanti.

“Mereka kini hanya selangkah untuk memahat nama dalam sejarah bola sepak kelab dan bukan semua pemain memiliki peluang tersebut. Justeru, saya mahu semua pemain memiliki fikiran lebih terbuka dan tidak terlalu negatif,” katanya.

Sementara itu, Howe mengesahkan pasukan tidak akan membawa tiga tonggak utama yang masih belum pulih daripada kecederaan seperti Lewis Hall, Sven Botman dan Jamaal Lascelles manakala Anthony Gordon pula digantung perlawanan.

“Kita akan kehilangan empat pemain penting terutama Hall yang begitu konsisten musim ini selain Gordon yang digantung perlawanan. Botman dan Lascelles pula sedang masih belum cergas sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami.

“Selain daripada mereka, semua pemain berada dalam keadaan sedia dan tidak mempunyai masalah untuk diturunkan dalam kesebelasan utama nanti,” katanya.

Sementara itu, penyerang sensasi Newcastle, Alexander Isak enggan memikirkan tentang spekulasi masa depannya kerana mahu fokus menghadiahkan pasukan trofi bersejarah itu pada musim ini.

“Saya belum fikirkan lagi tentang masa depan dan paling penting ketika ini adalah hadiahkan trofi buat peminat setia kami,” kata Isak yang telah menjaringkan 22 gol musim ini. – AGENSI

LALUAN KE FINAL

Pusingan kedua

N. Forest 1 1 Newcastle 

Nota: Newcastle menang penentuan penalti 4-3

Pusingan ketiga

Newcastle 1 0 AFC Wimbledon

Pusingan keempat

Newcastle 2 0 Chelsea

Suku Akhir

Newcastle 3 1 Brentford

Separuh akhir

Arsenal 0 2 Newcastle 

Newcastle 2 0  Arsenal

Nota: Newcastle menang agregat 4-0

Read Entire Article
Pertanian | | | |