LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta optimis pasukannya bakal ‘meledak’ sekiranya berjaya menjuarai trofi Piala Liga Inggeris (EFL) menjelang aksi separuh akhir pertama menentang Newcastle United di Stadium Emirates awal pagi esok.
Menurut Arteta, pasukannya kini terdesak untuk menamatkan penantian trofi lima tahun selepas kali terakhir bergelar juara kejohanan berprestij adalah ketika mendominasi saingan Piala FA edisi 2020.
Arteta berkata, jika berjaya menjulang trofi Piala EFL musim ini, sudah tentu ia dapat menaikkan semangat barisan pemain sekali gus menyasarkan piala yang lebih ‘besar’ seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
“Saya rasa ini adalah kejohanan yang cukup penting dan wajar diberikan perhatian oleh semua pemain. Saya harap kami muncul juara kerana ia dapat menaikkan semangat pasukan nanti.
“Semua pemain dahagakan kejuaraan dan kami perlu untuk menjulang trofi agar pemain dapat merasai mentaliti juara yang sebenar sekali gus membuka ruang untuk menjuarai trofi lebih ‘besar’ selepas ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pengendali dari Sepanyol itu turut mengesahkan penyerang utama, kai Havertz masih belum cergas sepenuhnya dan mungkin diketepikan daripada perlawanan menentang The Magpies nanti.
“Havertz mengalami kecederaan sebelum bertemu Brentford dan dia cuba bersama pasukan ketika menentang Brighton tetapi tidak dapat membuat sebarang latihan.
“Saya masih lagi pantau keadaannya dan kalau dia tidak dapat beraksi, kami akan terus gunakan pemain yang kita miliki,” kata Arteta.
Sementara itu, pemain tengah The Gunners, Thomas Partey berharap rakan sepasukan dapat meraih bekalan selesa dalam misi ke final Piala EFL di Stadium Wembley bulan depan.
“Ini adalah perlawanan yang sukar tetapi semua pemain perlu berada dalam keadaan bersedia kerana Newcastle adalah pasukan berkualiti.
“Saya harap penyokong dapat hadir beri sokongan dengan pasukan memburu kemenangan besar untuk dibawa ke tempat lawan nanti,” katanya. – AGENSI